fbpx

Abdul Halim anjur kelas percuma ajar fardu Ain, bahasa Melayu kepada kanak-kanak Thailand

Gambar Sumber Bernama Online

KUALA LUMPUR: Di sebalik namanya dikenali kerana sering membantu rakyat Malaysia ditimpa kecelakaan ketika mengembara di Thailand seperti nahas jalan raya, Abdul Halim Othman juga aktif mengajar ilmu fardu ain dan bahasa Melayu secara percuma kepada kanak-kanak Thailand.

Abdul Halim, 55, yang kini tinggal di Kampung Pak Bara, Wilayah Satun, Thailand selepas berkahwin dengan rakyat negara itu mula mengajar kanak-kanak berusia antara lima hingga lapan tahun sejak 12 tahun lalu di Tadika Misbahuddin pada setiap hujung minggu.

Beliau yang lebih dikenali Cikgu Joe Satun berkata Tadika Misbahuddin yang terletak di mukim Ban Khuan itu bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin sekitar kampung itu mendapatkan pendidikan asas Islam selain memartabatkan bahasa Melayu kepada generasi muda.

“Majoriti penduduk di Wilayah Satun yang bersempadan dengan utara Malaysia beragama Islam, berketurunan Melayu dan masih bertutur bahasa Melayu dalam loghat Kedah.

“Tetapi kebanyakannya adalah generasi yang sudah berumur dan bagi golongan muda pula mereka mengalami proses asimilasi dengan budaya dan bahasa Thai terutama di sekolah kerajaan. Jadi, pendidikan sejak dari kecil seperti ini penting untuk mengekalkan warisan dan jati diri bangsa,” katanya kepada BERNAMA, baru-baru ini.

Abdul Halim yang mengusahakan sebuah perniagaan agensi pelancongan bersama isterinya itu berkata generasi Melayu Wilayah Satun boleh bertutur bahasa Melayu loghat Kedah terutama ketika berada di rumah tetapi tiada pengetahuan asas penggunaan bahasa Melayu standard dan mereka bermasalah dalam aspek penulisan.

“Dari segi pertuturan mereka akan mengeja mengikut bahasa mulut, contoh ayer (air), carpoo (kapur) dan ada juga bercampur dengan bahasa Thai kerana bahasa utama di sekolah kerajaan adalah bahasa Thai. Perkara ini yang saya cuba perbetulkan (ajar) sedikit demi sedikit,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Ditanya bagaimana kaedah digunakan untuk mengajar di tadika itu, Abdul Halim berkata, beliau banyak menggunakan kaedah menyebut, mengeja dan membatang suku kata abjad bahasa Melayu selain menggunakan kurikulum daripada Pusat Penyelarasan Tadika Selatan Thai (PERKASA).

Berkongsi bagaimana beliau boleh mula mengajar di tadika berkenaan yang mempunyai kira-kira 200 murid dan lapan guru, Abdul Halim yang berasal dari Kampung Sungai Seluang, Lunas, Kedah berkata ia bermula apabila beliau terpaksa menjaga kakak iparnya yang koma akibat nahas jalan raya pada 2011.

Katanya, sebelum kejadian itu, beliau bekerja bebas dalam bidang hartanah dan kerap kali berulang-alik keluar masuk Malaysia-Thailand.

“Nak dijadikan cerita, kakak ipar saya yang kemalangan ini seorang janda dan dua anaknya masih belajar di luar negara manakala dua adik-beradik lain yang juga perempuan tinggal berjauhan. Jadi saya yang kerja tidak tetap dan mempunyai banyak masa terpaksa menjaganya.

“Selama enam bulan juga saya menjaganya termasuk berulang-alik membawanya ke hospital sehinggalah beliau pulih. Lantaran lama saya ‘tersadai’ di Wilayah Satun dan poket sudah mula kering, saya pun mengambil upah membantu perniagaan bapa mentua menjual perkakasan dan secara tidak langsung saya menawarkan diri untuk mengajar di tadika itu sebelum membuka bisnes pelancongan sendiri,” katanya.

Bekas graduan Universiti Teknologi Malaysia itu turut menzahirkan kesyukuran atas ketentuan itu apabila kehidupan beliau kini turut berubah dengan menjadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan dan banyak melakukan aktiviti kemasyarakatan.

Sementara itu, Penasihat Tadika Misbahuddin, Alee Haura Wan Megat Abu Bakar, berkata hanya enam tadika di kampung Wilayah Satun mengajar bahasa Melayu standard menggunakan kurikulum PERKASA sementara tadika lain menggunakan kurikulum dalam bahasa Thai.

Beliau berkata, antara subjek yang diajar selain bahasa Melayu ialah Tauhid, Fiqh, Akhlak, Sejarah, Melayu Jawi dan al-Quran dengan guru diberi bayaran sebanyak 2,250 bhat (RM300) sebulan.

“Di sekolah kerajaan, tidak ada pelajaran agama dan bahasa Melayu standard. Bagi keluarga yang mampu mereka akan hantar anak-anak mereka ke sekolah swasta. Tadika Misbahuddin pula yang dibangunkan hasil usaha penduduk kampung adalah alternatif bagi membantu keluarga yang susah dengan yuran tahunan hanya 300 bhat (RM40),” katanya.– (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles