fbpx

Dayang rindu suasana beraya di Sarawak

Dayang Nurfaizah bersama ahli keluarganya pada sambutan Hari Raya (Gambar Sumber Berita Harian Online)

KUALA LUMPUR: Meraikan 1 Syawal di perantauan takkan sama suasana di kampung halaman sendiri. Justeru, tidak hairanlah budaya balik kampung bagaikan satu kemestian buat warga kota setiap kali menjelang Aidilfitri.

Bagi penyanyi Dayang Nurfaizah yang sudah beberapa tahun meraikan Syawal di ibu kota, perasaan sama turut dirasakan.

Meskipun masih berpeluang berkumpul bersama keluarga, perasaan tidak sama berbanding meraikannya Syawal di kampung halaman di Sarawak.

“Dayang beraya di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun ini. Kali ini sekali lagi Dayang menyambutnya di ibu kota. Cuma, bezanya kali ini kami sekeluarga dapat berkumpul. Hanya adik lelaki sahaja tidak dapat ikut serta kerana beraya di rumah keluarga mentua.

“Namun, tak dapat dinafikan suasana beraya di kampung halaman di Kuching sangat berbeza dan lebih seronok. Jujurnya, Dayang sangat rindu untuk beraya di kampung,” katanya kepada BH Online.

Mengimbau keseronokan menyambut Aidilfitri di Kuching, penyanyi bersuara gemersik ini mengakui kemeriahannya lebih kepada budaya kunjung mengunjungi yang diamalkan.

“Bila kita beraya di ibu kota, sambutan Syawal hanya dalam skala kecil. Dayang pula tinggal di kondominium, memang tiadalah tetamu yang datang kecuali keluarga terdekat.

“Kalau masak pun, ala kadar sahaja dan jarang berlebihan sangat. Namun, berbeza bila beraya di Kuching. Tiga hari sebelum Syawal kami sudah sibuk dengan persiapan membeli barangan dapur.

“Orang kata kemeriahan berhari raya di kampung halaman lebih besar. Bila dapat kumpul bersama sanak saudara, suasana seperti majlis kenduri.

“Paling Dayang rindukan adalah budaya kunjung mengunjungi. Di Kuala Lumpur, kami tiada nak ketuk rumah jiran untuk beraya. Namun, di kampung, kami boleh ziarah jiran sekeliling rumah,” kata penyanyi yang baru muncul dengan album Belagu 11 ini.

Meskipun beraya di kota metropolitan, rutin tradisi beraya di kampung masih dikekalkan.

“Budaya bersalaman dan memohon maaf setiap pagi raya wajib diamalkan walaupun beraya di bandar.

“Cuma bila keluarga semakin membesar, rutin bersalaman yang selalunya berlangsung pada waktu pagi akan berganjak tengah hari.

“Semuanya gara-gara masing-masing nak bersiap dan melaram depan kamera. Walaupun bukan dirakam jurugambar profesional, tetapi penampilan tetap kena jaga,” cerita Dayang sambil ketawa.

Mengenai menu wajib sebagai juadah pagi raya, penyanyi berkulit hitam manis ini berkongsi, Aidilfitri tidak lengkap tanpa juadah hasil air tangan ibunya.

“Biasanya ibu akan masak kari ayam, kuah kacang dan ayam masak merah. Walaupun menu nampak biasa, tetapi untuk juadah raya, bahan-bahan yang digunakan sedikit ekstra, sekali gus menjadikan lebih enak daripada biasa.

“Kami juga tetap akan menghidangkan kek lapis kerana itu juga adakah tradisi orang Sarawak pada hari raya.

“Dayang minta kakak Dayang belikan. Walaupun jumlahnya tidak banyak sampai penuh satu meja, kek lapis Sarawak tetap kena ada,” ujar Dayang yang kini sedang sibuk membuat persiapan konsert yang akan diadakan di Singapura pada 20 Mei depan. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles