PETALING JAYA: Cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob teruja dilantik sebagai duta kepada dua jenama klinik kesihatan berprestij sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya ke-45.
Jelas Fazley, pelantikan itu adalah hadiah bermakna untuknya terutama sebagai seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa mementingkan kesihatan dalam menjalani kehidupan harian.
“Kesihatan lelaki sebagai isu serius yang memerlukan perhatian profesional dan perubatan. Biarpun mungkin tabu dan tidak ramai yang sanggup berkongsi masalah. Mereka mungkin rasa tidak selamat dan bimbang.
“Tetapi klinik tersebut keselamatan, privasi, dan rahsia terjaga dalam rawatan pesakit mereka. Mereka berusaha mencari penyelesaian yang disesuaikan untuk setiap pesakit, memberikan perasaan kasih sayang dan perhatian terhadap kesihatan dan kecergasan mereka.
“Pelantikan sebagai duta untuk setahun ini juga memberi peluang kepada saya dan jenama klinik tersebut meningkatkan kesedaran tentang masalah kesihatan lelaki kepada orang awam,” ujarnya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, He Medical Clinic berharap kerjasam itu dapat meningkatkan kesedaran dan lebih ramai lelaki merasa selamat untuk mendapatkan bantuan profesional bagi masalah mereka.
“Perlantikan Fazley Yaakob sebagai duta jenama pada usia 45 tahun adalah kerana dia merupakan inspirasi lelaki yang sihat dan bertenaga pada usianya, menjadi contoh teladan untuk semua lelaki dalam kumpulan umurnya,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Fazley yang juga dilantik sebagai duta kepada Boren Healthcare Group turut mahu berkongsi kepentingan kesihatan dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menjalani kehidupan dengan gaya hidup sihat.
“Saya banyak berkongsi aktiviti dan rutin gaya hidup sihat yang boleh juga diamalkan oleh peminat di luar sana. Di usia 45 tahun, aktiviti senaman dan sukan pilihan adalah antara gaya penjagaan kesihatan yang baik.
“Malah, pemakanan dan pemeriksaan awal kesihatan juga memainkan peranan penting,” katanya. (Sumber Utusan Malaysia Online)