Tujuh beranak tumpang gazebo kawan, empat anak tak bersekolah

Kulai: “Mujur ada kenalan yang kasihan benarkan kami tujuh beranak berteduh di gazebo ini, jika tidak kami mungkin bergelandangan lagi,” kata ibu enam anak, Nurul Zawanah Taslim, 34.

Katanya, tiga bulan lalu dia sekeluarga hidup bergelandangan selepas terpaksa mengosongkan rumah sewa di Pasir Gudang akibat gagal membayar sewa.

Menurutnya, sebelum ini seorang kenalan membenarkannya dia tinggal di pondok di kebun di Simpang Renggam namun ia menimbulkan kesulitan untuk mencari rezeki kerana bergantung dengan upah mengurut badan.

“Saya tinggal di situ selama dua bulan sebelum sebulan lalu seorang rakan di Kulai memberi kebenaran untuk tinggal di gazebo di tepi kebun cendawan mini di rumahnya.

“Memang gazebo ini sempit namun kami bersyukur sekurang-kurangnya memiliki tempat tinggal dan berikutan kedudukannya terletak di anjung rumahnya, kami tidak terdedah kepada cahaya matahari atau hujan.

“Dia yang juga tukang urut dan usahawan cendawan membenarkan kami menggunakan dapur dan tandas selain turut sentiasa membantu meringankan beban kami sekeluarga.

“Saya bersyukur kerana sejak tinggal di sini, saya boleh meneruskan kerjaya sebagai tukang urut,” katanya yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Nurul Zawanah berkata, dia yang dalam proses perceraian dengan suami sejak awal tahun ini juga gagal menyekolahkan empat anak yang berusia enam hingga 14 tahun.

Menurutnya, malah dia juga memiliki dua anak masih kecil berusia empat tahun dan anak bongsu berusia 14 bulan.

“Ada yang mahu menjadikan anak saya sebagai anak angkat, namun saya tidak sanggup berpisah. Biar susah senang kami bersama,” katanya.

Menurut Nurul Zawanah dia berharap dapat mendaftar anak ke sekolah berhampiran dalam tempoh terdekat.

“Saya bimbang masa depan mereka kerana mereka memang berminat dan mahu belajar namun mereka memahami keadaan saya yang serba kekurangan.

“Malah saya juga berharap dapat berpindah ke tempat tinggal lebih selesa dan selamat bagi anak-anak,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang.

Bor Yang turut menyerahkan sumbangan wang tunai serta barangan makanan kepada keluarga berkenaan.

“Saya juga akan merujuk masalah tujuh beranak ini kepada agensi berkaitan. Mereka tidak sesuai tinggal di gazebo ini bagi tempoh lama,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles