Putrajaya: Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang dilaporkan hilang, Muhammad Hawari Hashim, 33, kini tertumpu di bahagian gunung dikenali sebagai death zone (zon kematian).
Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak, 35, berkata, ketika kejadian, Hawari berada di kem empat selepas dia berjaya menawan Everest, 3.30 petang pada Khamis (waktu Nepal).
Menurutnya, selepas tiba di kem empat pada kira-kira 1.30 pagi Jumaat (waktu Nepal), Hawari meminta malim gunung memeriksa Leftenan Kolonel (PA), Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang berhadapan masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Katanya, Hawari ada memberitahu malim gunung bahawa dia tidak berdepan masalah dan malim gunung itu kemudiannya meninggalkan Hawari dengan bekalan tangki oksigen yang boleh bertahan sehingga 12 jam.
“Selepas malim gunung kembali semula ke kem empat, dia mendapati Hawari sudah tiada dan dia turut memeriksa di kawasan sekitar, namun tidak bertemu dan keadaan cuaca ketika itu juga kurang baik,” katanya ketika mengadakan sidang video bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, semalam.
Kehilangan Hawari memasuki hari keenam hari ini.
Hawai yang berasal dari Pulau Pinang kini bertugas di Muzium Pulau Pinang.
Misi ME 2023 ini adalah percubaan keduanya menawan puncak Everest selepas tertangguh pada tahun lalu disebabkan faktor cuaca.
Azim berkata, beliau beranggapan Hawari naik semula ke atas untuk memeriksa dan bertemu dengan Awang Askandar kerana dia sangat prihatin dengan rakan-rakan.
Mengimbas kembali kejadian, beliau berkata, kali terakhir bertemu Hawari dan Awang Askandar adalah sebelum mereka memulakan summit push pada 17 Mei lalu.
Katanya, pihaknya mula mengaktifkan misi SAR pada 11 pagi Jumaat (waktu Nepal) dengan bantuan lapan malim gunung untuk mencari di Kem Induk Everest, kem tiga sehingga kem enam selain tinjauan melalui udara.
“Misi SAR ini turut dibantu 20 sukarelawan, namun hanya malim gunung berpengalaman sahaja boleh melakukan pencarian di kem empat kerana kawasan ini berbahaya,” katanya.
Azim menambah, berdasarkan maklumat malim gunung setakat ini, mereka menjumpai 18 mayat dan dalam proses mengenal pasti identiti individu berkenaan.
Katanya, SAR juga pengesanan telefon bimbit Hawari dengan bantuan pihak berkuasa Nepal termasuk jam tangan Suunto yang dipakai lelaki itu melalui bantuan pihak berkuasa Finland, namun tidak berhasil.
“Dua hari lalu kami juga memaklumkan kepada pihak berkuasa Tibet sekiranya pendaki yang naik dari bahagian itu melihat atau bertemu dengan Hawari untuk segera memaklumkan kepada kami.”
“Saya yakin Hawari masih hidup kerana dia masih mempunyai bekalan makanan mencukupi serta dilengkapi dengan sut yang mampu menahan cuaca sejuk sehingga 60 darjah Celsius dan pencarian akan diteruskan ,”katanya. (Sumber Harian Metro Online)