LIVERPOOL: Liverpool semakin hampir mendapatkan bintang tengah Argentina, Alexis Mac Allister selepas rundingan bersama Brighton kini memasuki fasa baharu.
Pengendali Reds, Jurgen Klopp sedang mencari muka baharu memandangkan Liverpool kehilangan tonggak tengah, James Milner, Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain yang akan meninggalkan pasukan pada musim panas kerana kontrak mereka bakal tamat.
Difahamkan ketika ini, Liverpool sudah hampir untuk bersetuju dengan terma peribadi yang ditetapkan Mac Allister sebelum berunding mengenai harga yuran perpindahan dengan Brighton.
Reds semakin bersemangat untuk mendapatkan pemenang Piala Dunia 2022 itu selepas pencabar utama mereka, Manchester City menarik diri daripada rundingan.
Liverpool sedia membayar 70 juta pound (RM398.62 juta) bagi mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu yang turut menarik minat Manchester United dan Arsenal.
Menurut wartawan CBS, Ben Jacobs, Mac Allister tidak berminat terlibat dengan rundingan panjang, dan mahu proses perpindahan diselesaikan segera.
“Chelsea pernah cuba mendapatkan Mac Allister tetapi mereka meletakkan harga lebih rendah daripada yang Brighton mahukan, lalu beralih kepada sasaran yang lain termasuk rakan sepasukan Mac Allister, Moises Caicedo.
“Tetapi kita akan tunggu dan lihat sama ada pengaruh Mauricio Pochettino akan mengubah perkara ini.
“Setakat ini, segalanya belum selesai antara Mac Allister dan Liverpool mahupun Liverpool dengan Brighton.
“Begitupun terdapat keyakinan daripada pihak Liverpool dan bagi saya, mereka amat ke hadapan dalam rundingan seperti ini. Seperti yang kita tahu, Liverpool suka melakukan urusan mereka awal,” jelas Jacobs. – (Sumber Utusan Malaysia Online)