JOHOR BAHRU: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke final Piala FA selepas membenam Selangor FC 4-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Esteban Solari akan berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai ini selepas skuad kendalian Bojan Hodak layak ke final hasil kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti menewaskan Terengganu FC semalam.
Pada pertembungan yang berintensiti tinggi itu, skuad kendalian Tan Chen Hoe bagaikan `termakan’ perang psikologi JDT apabila terpaksa bekerja keras mengekang asakan bertubi-tubi barisan serangan skuad Harimau Selatan.
Menerusi percubaan awal di minit ketujuh Leandro Velazquez terlepas peluang terhidang apabila gagal merembat bola tepat ke gawang walaupun berada di dalam kotak penalti selepas menerima bola umpanan Fernando Forestieri.
Walaupun Selangor sering diasak, peluang yang diperoleh pada minit ke-18 hampir memerangkap penjaga gol tuan rumah, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang terpaksa menepis bola keluar hasil sepakan lencong Aryon Rodriguez.
Serangan balas skuad Harimau Selatan pada minit ke-20 membuahkan hasil selepas bola umpanan Forestieri membuka ruang buat Arif Aiman Hanapi yang berjaya melepasi kawalan Quentin Cheng sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Khairul Azhan Khalid.
Ternyata Arif Aiman berada di dalam kelas tersendiri selepas mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-33 berpunca daripada bola umpanan Velazquez apabila pemain muda yang meningkat naik itu secara solo memperdaya tiga pemain pertahanan Selangor FC sebelum merembat bola kencang tepat ke penjuru kanan.
Arif Aiman sekali lagi gagal dikekang apabila meledak hatrik pada minit ke-38 berpunca daripada bola gerakan Forestieri dengan Pemain Paling Bernilai dua musim berturut-turut itu mudah mengelirukan pemain gantian, Ahmad Zikri Khalili dan sempat menyungkit bola menewaskan Khairul Azhan.
Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk melenyapkan sisa perjuangan anak didik Cheng Hoe apabila Forestieri bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol keempat walaupun diasak pemain gantian, Ahmad Khuzaimie Piee pada minit ke-47.
Selangor FC terlepas peluang untuk mencipta sekurang-kurang satu gol pada minit ke-67 apabila bola gerakan pemain gantian Brendan Gan membuka ruang buat Faisal Halim yang sempat mengelirukan Jordi Amat dan Shane Lowry tetapi Ahmad Syihan bersedia untuk menampan bola bagi mengelak gawang dibolosi.
Selepas serangan itu, tuan rumah tampak mengendurkan serangan dan kedudukan 4-0 yang memihak skuad kendalian Esteban Solari sudah cukup menceria lebih 32,000 penyokong yang hadir menjadi saksi JDT ke pentas final untuk musim kedua berturut-turut. (Sumber Berita Harian Online)