SELANGOR FC memperkukuhkan kedudukan ditangga kedua Liga Super selepas menang tipis 1-0 ke atas Sabah FC dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada Ahad.
Jaringan bintang dari Colombia, Ayron del Valle pada minit ke-23 sudah cukup membolehkan The Red Giants menebus kembali kekalahan 1-2 kepada The Rhinos di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada April lalu.
Pada aksi 27 April lalu menyaksikan gol Sabah dijelmakan Saddil Ramdani (m-24) dan kapten, Baddrol Bakhtiar (m-66) manakala Faisal Halim mengurangkan defisit dengan jaringan minit ke-52.
Kemenangan ke-13, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu membolehkan The Red Giants meninggalkan pesaing terdekat Kedah Darul Aman (KDA) FC yang kurang satu perlawanan dengan lima mata.
Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee pula kekal di tangga kelima liga dengan 33 mata selepas meraih 10 kemenangan, tiga seri, lima kalah selepas mengharungi 17 perlawanan.
Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan Selangor bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menentang pendahulu liga yang juga juara Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 29 Julai.
Aksi di laman Harimau Selatan itu juga merupakan pentas terbaik buat anak didik Cheng Hoe menebus kekalahan 0-4 kepada JDT pada 17 Mac lalu.
Sabah pula akan terbang ke Stadium Bandaraya, Pulang Pinang berdepan Penang FC pada 30 Julai yang ditewaskan 5-0 dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Likas juga pada 17 Mac lalu. (Sumber Sinat Harian Online)