Kuala Lumpur: Pelakon Nafiez Zaidi mengesahkan hubungannya dengan pelakon, Fify Azmi sudah berakhir dan hasrat untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian.
Menurut Nafiez, hubungannya dan Fify mula renggang dan menemui titik noktah sekitar raya Aidilfitri lalu.
“Ikutkan perancangan asal, kami patutnya bernikah pada Disember tahun lalu. Tapi masa saya tengah jalani penggambaran filem MALBATT di Turki, Fify ada hubungi saya untuk minta tangguh pernikahan kami.
“Masa itu, saya ikutkan sahaja kemahuan dia… tapi sejak itu juga, hubungan kami semakin renggang. Ada banyak perselisihan faham antara kami dan akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah,” katanya.
Nafiez ditemui ketika majlis tayangan filem MALBATT: Misi Bakara yang diadakan di sebuah pusat membeli belah dekat Putrajaya, semalam.
Sementara itu, Nafiez menafikan keretakan hubungan mereka berpunca daripada orang ketiga atau imej seksi Fify.
Nafiez memberitahu dia sudah mencuba untuk mempertahankan hubungan mereka namun aktres itu tetap mahu berpisah.
“Bukan sebab orang ketiga atau penampilan seksi dia menjadi punca kami berpisah. Tapi mungkin bagi dia, tiada keserasian lagi. “Saya ada juga usaha untuk pertahankan hubungan kami, tapi Fify yang berkeras untuk berpisah. Untuk kebaikan, kami pun berpisah.
“Kami masih berkawan tapi sudah lama tak berhubung. Kalau boleh, nak profesional, boleh berkawan, lepak dan bekerjasama,” katanya.
Hubungan cinta Nafiez dan Fify mula diketahui umum sekitar Disember 2021 dan keluarga aktor itu juga sudah menghantar rombongan merisik pada Jun 2022. (Sumber Harian Metro Online)