KLANG, 21 OGOS: Ahli Dewan Negeri Sungai Tua Dato’ Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah jawatan Dato’ Menteri Besar buat penggal kedua di Istana Alam Shah di sini hari ini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor ke-17 dilakukan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bermula jam 11.22 pagi.
Amirudin, 43, turut menandatangani surat pelantikan serta melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu dipenuhi dan dipatuhi sepanjang memegang jawatan tersebut.
Istiadat turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Amirudin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri dilantik semula jawatan itu selepas HARAPAN dan Barisan Nasional memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.
Pada PRN itu, beliau mempertahankan kerusi Sungai Tua yang disandang sejak 2008 selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Hanif Jamaluddin dan G Suman (Bebas). (Sumber Selangor Kini Online)