IPOH: Empat pegawai polis berpangkat Inspektor mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kumpulan pertama juruterbang wanita bagi Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Inspektor Wan Aulia Hami Fariheen Wan Azulkefeli, 31; Inspektor Yeoh Yee Chee, 31; Inspektor Siti Nabila Abdullah, 33, dan Inspektor Nur Hidayah Mohd. Aisa, 33, antara 12 juruterbang PGU yang berjaya menamatkan kursus Private Pilot’s Licence (PPL) No 19, Siri 01/2021.
Pemilihan mereka itu selepas 44 tahun PGU ditubuhkan pada 1 Februari 1979.
Keempat-empat mereka dianugerahkan lencana sayap juruterbang yang disematkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sempena Hari Ulang Tahun PGU ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini hari ini.
Menurut Nur Hidayah, dia terpanggil turut serta dalam pemilihan juruterbang wanita pada November 2021 kerana mahu mencabar kebolehan dirinya untuk setanding dengan juruterbang lelaki.
Katanya, dia gembira dan berbangga apabila penyertaannya itu bukan sahaja melakar sejarah tersendiri untuk PGU, malah memahat kenangan indah untuknya kerana dipilih sebagai penerima Anugerah Peserta Kursus PPL Terbaik.
“Jika saya tidak sertai sekarang, saya mungkin tidak berpeluang untuk pengambilan seterusnya, sebab itu saya tidak mahu lepaskan peluang ini.
“Kalau dari segi cabarannya pula, kami adalah juruterbang wanita pertama, jadi kami perlu menunjukkan kebolehan sama seperti peserta lelaki baik dari segi akademik mahupun penerbangan,” katanya yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit, Sarawak.
Sementara itu, Yee Chee yang berkhidmat selama tujuh tahun di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berkata, dia berbangga kerana dapat memecahkan dominasi lelaki dalam industri penerbangan.
Katanya, cabaran terbesar baginya sepanjang kursus tersebut adalah ketika penerbangan solo di mana dia perlu melakukan semuanya sendiri.
“Saya sangat teruja tetapi pada masa sama ada juga rasa gementar kerana perlu menerbangkan pesawat dan mendaratkannya sendiri.
“Selain itu, kami juga perlu melalui dua peringkat dalam kursus ini iaitu belajar dari segi teori penerbangan dan kedua ialah cara-cara mengendalikan pesawat. Kami juga perlu lulus 11 mata pelajaran, barulah layak ke fasa penerbangan,” katanya.
Dalam pada itu, Komander PGU, Datuk Noor Sham Md. Jani berkata, empat pegawai polis wanita tersebut dipilih menyertai kursus PPL selepas tapisan ketat dilakukan ke atas 36 peserta.
Katanya, kali terakhir pengambilan juruterbang dalam kalangan pegawai polis wanita adalah pada tahun 2004.
“Mereka ini kumpulan pertama untuk juruterbang kapal terbang, Insya-Allah bulan depan ada enam lagi juruterbang wanita untuk helikopter.
“Pertama kali dalam sejarah PLPGU melatih enam juruterbang berpangkat Inspektor wanita. Ini satu perkembangan terbaik untuk generasi akan datang,” katanya.
Tambah beliau, PDRM memang menggalakkan pegawai polis wanita yang berkebolehan dan berkelayakan untuk menyertai PGU bagi memantapkan lagi keberkesanan operasi. (Sumber Utusan Malaysia Online)