London: Masa depan bintang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe tampak semakin jelas selepas laporan di Perancis mendakwa Liverpool kini mengatasi Real Madrid dalam persaingan menandatangani pemain itu.
Mbappe disisih daripada skuad utama PSG awal musim ini selepas dia menegaskan enggan mengaktifkan klausa lanjutan kontrak dari 2024 ke 2025 yang menimbulkan kemarahan presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi dan tidak membenarkan dia berlatih atau beraksi bersama skuad.
Namun selepas beberapa kali berunding, situasi kembali normal dan Mbappe kembali ke barisan kesebelasan. Dia kemudiannya meledak tujuh gol dalam lima penampilan pertama pada kempen musim ini.
Ramai berpendapat Mbappe dan PSG bakal bersetuju dengan kontrak baharu yang akan melindungi nilai perpindahannya menerusi klausa pembebasan yang tinggi.
Namun ia masih tidak menjadi kenyataan dan ketika kontrak pemain berusia 25 tahun itu dijangka tamat pada musim panas, dia kini bebas berunding dengan salah satu pencabar PSG.
Madrid sering dianggap destinasi Mbappe seterusnya susulan minat mendalam dengan kelab itu yang sering memburu kejuaraan utama. Tetapi Los Blancos beberapa kali gagal mendapatkannya sebelum ini dan ia boleh berulang sekali lagi.
Menurut akhbar Perancis Le Parisien, Liverpool kini mengatasi Madrid dalam memburu penjaring gol bertaraf dunia dan skuad Jurgen Klopp dianggap calon paling ‘berwibawa serta bahaya’ oleh PSG.
Terdapat beberapa sebab mengapa Liverpool mempunyai kelebihan berbanding Madrid. Antaranya ibu pemain itu, Fayza Lamari difahamkan adalah peminat tegar The Reds dan kedua hubungan baik Mbappe dengan Klopp.
Jelas sekali Mbappe mampu memperkasakan jentera serangan Liverpool dengan rekod 233 gol dalam 282 perlawanan buat PSG selain membantu Perancis menjuarai Piala Dunia dan Liga Negara-Negara Uefa. (Sumber Harian Metro Online)