Jangan cari Mizz Nina, Noh boleh cari saya – Essam

Shah Alam: Suami kepada penyanyi, Mizz Nina, Essam Muhammad, 31, menegaskan nama sebenar anak angkatnya, Musa bukan seperti yang didedahkan Noh Salleh, 39, sebelum ini.

Noh sebelum ini mendedahkan nama penuh anak angkatnya itu adalah Musa Mohammad Noh bin Abdullah dalam komennya menjawab pertanyaan netizen.

“Itu bukan nama sebenar Musa. Saya di sini ingin menegaskan bahawa nama penuh Musa yang kononnya disebut di Internet tempoh hari adalah tidak benar. Dia (Noh) sudah memberikan maklumat salah kepada semua.

“Namun, saya enggan mendedahkan nama penuh sebenar Musa kerana ingin melindungi identiti dan maklumat peribadinya kepada umum,” katanya ketika ditemui pada prosiding sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.

Essam juga menjelaskan isterinya Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 44, mempunyai dokumen hak penjagaan sah dan terkilan bila Musa menjadi mangsa dalam konflik itu.

“Isteri saya mempunyai dokumen yang sah untuk menjaga Musa. Saya di sini mewakili isteri saya iaitu Mizz Nina ingin menegaskan bahawa tiada seorang anak pun yang patut diambil daripada penjaga tanpa keizinan daripada ibu bapanya.

Essam mewakili Mizz Nina bagi proses Sulh berkaitan anak angkat Noh Salleh dan Mizz Nina di Mahkamah Syariah Shah Alam

“Bukan itu saja, pihak defendan (Noh) malah mendedahkan nama sebenar ibu kandung Musa kepada umum menerusi sebuah kenyataan permohonan maaf.

“Tiada ibu kandung yang mahu satu Malaysia tahu bahawa dia sudah menyerahkan anaknya sendiri kepada orang lain. Perbuatannya sangat memalukan dan tidak beretika,” katanya.

Essam yang juga seorang penyanyi rap menyarankan Noh untuk berhubung secara langsung dengannya di Instagram selepas ini bagi sebarang urusan dan bukan kepada Mizz Nina.

“Kalau dia mahu berkomunikasi dengan ahli keluarga saya termasuk Nina, saya adalah mahramnya. Jangan cari isteri saya, carilah saya. Kalau dia mahu berkomunikasi dengan saya, media sosial saya masih umum,” katanya.

Tindakan penyanyi Angin Kencang itu sebelum ini mendedahkan nama penuh Musa mencuri perhatian dan cetus pertikaian. Dia disifatkan tidak sensitif.

Terdahulu, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun, bercerai pada Ogos 2022 dan mereka tidak dikurniakan anak.

Kini, Noh dan Mizz Nina sudah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan pasangan pilihan masing-masing. (Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles