fbpx

‘Saya pilih Islam kerana kisah Nabi Ibrahim’

GEORGETOWN – Tertarik dengan kisah perjalanan hidup Nabi Ibrahim AS, menjadikan seorang warga emas mengambil langkah melafazkan dua kalimah syahadah serta memeluk agama Islam.

Sooh Cheng Hoon, 77, seorang pesara dan pernah bertugas di sebuah bank, turut memilih nama ‘Abrahim’ sebagai nama Islam beliau.

Menceritakan lebih lanjut, beliau memberitahu, sejak sekian lama dia telah mengikuti  kisah perjalanan hidup Nabi Ibrahim melalui buku-buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

“Saya tertarik kisah Nabi Ibrahim sebab itu saya pilih nama Abrahim sebagai nama Islam saya,” katanya setelah melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Timbalan Pengerusi Gerakan Sukarelawan Malaysia (GSM), Mohamad Faezal Shamsudin sambil disaksikan oleh Pengerusi Kelab Pembangunan TVET dan Usahawan Pulau Pinang, Mohamad Fakarudin Md. Farok.

Lafaz syahadah itu diadakan dalam Program Berkelah dan Berdakwah di Armenian Park,  Lebuh Acheh di sini,  yang menggabungkan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (myIKUT), GSM, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) dan Pertubuhan Silat Lincah Pulau Pinang.

Yap Boon Leong (kiri) melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Zolkifly Md. Lazim dengan berlatarbelakangkan Komtar di Georgetown, Pulau Pinang.

Cheng Hoon menyatakan, dengan usianya yang kian lanjut, dia bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk memeluk Islam.

“Kini saya lebih tenang.

“Kisah Nabi Ibrahim serta liku-liku hidup yang baginda lalui termasuk ujian yang perlu ditempuhi memang menarik perhatian saya.

“Apabila saya tercari-cari untuk mengetahui lebih terperinci  kisah Nabi Ibrahim, saya dapati kisah baginda juga terdapat dalam al-Quran. Sebab itu saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.

Cheng Hoon merupakan seorang daripada tiga orang  yang mengambil keputusan memeluk Islam dalam Program Berkelah Sambil Berdakwah.

Bagi Yap Boon Leong, 54, kisah silam hingga menyebabkan keluarganya porak-peranda menjadikan dia insaf serta mahu memulakan kehidupan baharu.

Jelasnya, kehidupannya yang sering berpindah- randah serta menumpang tidur di rumah kawan, menyebabkan perkahwinannya musnah dan terpaksa berpisah dengan dua orang anak.

“Memang silap saya. Kini saya insaf dan mahu memperbaiki diri.

“Biarlah dua anak yang telah berusia lebih 20-an bersama bekas isteri saya.  Walaupun saya tidak lagi dapat menghubungi anak-anak, tetapi itulah hukuman bagi saya kerana kesilapan lalu.

“Sebab itu saya memilih Islam. Sebaik sahaja melafazkan syahadah, jiwa saya lebih tenang,” katanya yang menumpang di sebuah surau untuk sementara waktu sebelum myIKUT menguruskan tempat tinggal yang lebih sempurna untuk dirinya.

Boon Leong melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Penaung myIKUT yang juga Pengerusi Pertubuhan Silat Lincah Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lazim.

Simwei Leong ( duduk, kiri) ketika diwawancara oleh wartawan selepas melafazkan syahadah dalam Program Berkelah Sambil Berdakwah di Armenian Park, Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang bekas pengawal  keselamatan sebuah pusat hiburan, Simwei Leong, 28, yang turut melafazkan syahadah memberitahu, kehidupan masa lalu banyak menginsafkan dirinya.

“Setelah berfikir panjang dengan pekerjaan yang saya lakukan, kini saya mahu kehidupan saya lebih tenang dan tenteram.

“Saya sering tertanya-tanya sampai bila saya perlu hidup dengan pekerjaan seperti ini.

“Setelah mendapat maklumat yang betul dari rakan-rakan, saya pilih Islam sebagai  kehidupan saya,” katanya yang begitu ceria setelah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Dia melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa GSM, Mohd. Fadzil Saari.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles