Kuala Lumpur: Penyanyi veteran, Datuk Hail Amir, 77, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 4.24 petang, hari ini.
Pihak keluarga tidak membenarkan kehadiran pelawat dan meminta semua pihak mendoakan kesembuhan penyanyi dan pelakon terkenal era 70-an ini.
Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir pernah dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan dalam wad akibat masalah jantung.
Allahyarham Hail Amir bersama pasangan duet Uji Rashid
Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.
Lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai.
Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar perak. Antara filem popular lakonannya adalah Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.
Selepas lebih lima dekad terbabit dalam dunia seni, Hail dikurnia gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022. (Sumber Kosmo! Online)