Program BIM anjuran JSDEAF meriah dengan pelbagai acara, disertai 1,500 peserta, 1,000 pengunjung

ISKANDAR  PUTERI – Program Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) selama tiga hari bermula 27 September melibatkan acara berjalan kaki, larian dan berbasikal yang disertai lebih 1,500 peserta, mempamerkan pelbagai acara menarik.

Antara acara yang menjadi tumpuan ramai ialah cabutan bertuah yang menawarkan lebih 100 hadiah termasuk motosikal, televisyen, basikal, telefon bimbit, jam tangan dan beberapa hadiah lain.

Selain itu, acara mencari harta karun  berupa wang tunai yang dimasukkan ke dalam sampul surat melibatkan pasangan ibu atau bapa bersama anak-anak turut menjadi perhatian ramai serta menghiburkan.

Turut diadakan ialah acara mewarna untuk kanak-kanak.

Sebahagian kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna dalam program BIM.

Satu lagi acara yang begitu menghiburkan ialah pertandingan pakaian tradisional Malaysia yang melibatkan peserta kanak-kanak dari pelbagai kaum.

Program yang menjadi tumpuan lebih 1,000 pengunjung itu adalah anjuran Persatuan Sukan Orang  Pekak Johor (JSDEAF)  dan diadakan di Sunway Big Box Retail Park Iskandar Puteri,  ia  juga sempena Ulang Tahun ke-10 penubuhan JSDEAF.

Presiden JSDEAF,  Chan Kok Sheng ketika berucap dalam majlis pelepasan peserta larian merakamkan rasa bangga kerana jumlah peserta melangkaui sasaran pihak urusetia.

“Kita jangkakan bawah 500 peserta, namun pendaftaran  terpaksa dibuka hingga mencecah 1,500 peserta.

“Program BIM  berjalan kaki, larian dan berbasikal ini melibatkan komuniti orang pekak, orang kurang upaya (OKU) lain-lain kategori dan orang normal termasuk kanak-kanak serta ibu bapa,” katanya.

Apa yang menjadi perhatian pada program berkenaan apabila terdapat 30 warga Indonesia dari Batam  yang turut menyertai acara berbasikal.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Syariah Affin Islamic Bank Berhad, Mohamad Salihin Deris yang mewakili bank berkenaan sebagai penaja utama berkata, keprihatinan  Affin  Islamic Bank Berhad menjayakan program BIM itu terbukti apabila sanggup menghantar lebih 100 kakitangannya  menyertai larian berkenaan.

Mohamad Salihin Deris (kiri) menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah kepada seorang peserta.

“Kita bukan sahaja menaja program ini, malah kakitangan Affin Islamic Bank Berhad  turut menjadi peserta.

“Affin Islamic Bank Berhad memang komited untuk membantu apa juga program anjuran persatuan OKU,” katanya yang turut melepaskan peserta larian selain menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah.

Sementara itu, Kumpulan Affin dalam satu kenyataan akhbar sempena program itu memberitahu, pihaknya dengan kerjasama JSDEAF turut  melancarkan solusi kutipan dana digital yang inovatif.

Jelas kenyataan itu, solusi ini dirangka khusus untuk memudahkan urusan sumbangan kepada JSDEAF, menjadikannya lebih pantas, mudah dan boleh diakses oleh semua pihak.

“Melalui penggunaan teknologi terkini seperti kod QR dan sistem AFFIN MyCashier, para penyumbang hanya perlu melakukan imbasan untuk menyalurkan  sumbangan mereka dengan cepat dan selamat, tanpa perlu berdepan proses tradisional yang rumit.

“Dengan integrasi sistem digital ini, ia dapat terus memberikan impak besar dalam menyokong komuniti OKU,” kata kenyataan itu.

Sebahagian peserta yang menyertai larian BIM di Iskandar Puteri, Johor.

Program BIM itu turut mendapat kerjasama Sunway City Iskandar Puteri, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim, Persatuan Jurubahasa Isyarat Selangor/Kuala Lumpur (JUPEBIM), Daiman Development Berhad,  Berjaya Starbuck Coffee Malaysia, Marrybrown, Decathlon (JB City Square), Singdeca Sdn. Bhd.,  A&T Signboard & Printing Sdn. Bhd., P n L Print Design, The Lipatist, Waldan Teguh dan Lensa Empire Management.

Program tersebut turut memberi peluang kepada para usahawan terutama ibu tunggal dan OKU untuk berniaga  dengan membuka kios-kios selain jualan ‘food truck’ di samping ceramah kesedaran mengenai isu-isu jenayah semasa.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles