8 DIS : Penyanyi, Elyana hari ini berkongsi berita gembira apabila dia bebas daripada kanser limfoma selepas berjuang selama 11 tahun.
Berita gembira itu dikongsikan pelantun lagu Kalis Rindu menerusi entri Instagramnya pagi ini.
“Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bersyukur dengan anda semua. Perjuangan dan penantian selama 11 tahun saya berhasil!!! Kanser saya hilang!!,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata yang sedang menjalani proses kimoterapi kelima di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor itu mengakui dia pernah rasa putus asa dan cemburu dengan kesihatan orang lain.
Bagaimanapun, Elyana percaya dengan kuasa Allah dan pasti ada keajaiban yang bakal berlaku.
“Alhamdulillah Ya Allah…Terima kasih Ya Allah, Kau telah mendengar doa kami. Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira saya.
“Terlalu lama tak dapat rasa gembira ada tubuh yang sihat. Aku pernah putus asa untuk berjuang. Aku selalu cemburu dengan kesihatan orang. Tapi aku sangat percaya dengan keajaiban dari sang pencipta ku. Allah Maha Baik. I Love U Ya Allah,” ujarnya.