Harimau Malaya tak lekang dek kontroversi

Mampukan Malaysia membawa pulang trofi Piala AFF Suzuki 2020?

Persoalan ini berlegar dalam platform media sosial para penyokong skuad Harimau Malaya.

Ada yang positif tetapi ramai juga yang mula meragui kemampuan anak-anak buah Tan Cheng Hoe untuk mengulangi kejayaan menjadi juara seperti mana yang dilakukan oleh Datuk K. Rajagobal pada tahun 2010.

Segala-galanya berubah dalam sekelip mata.

Selepas dijulang tinggi ekoran kejayaan membelasah Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, skuad bola sepak kebangsaan mula dikecam hebat setelah tewas 0-3 kepada Vietnam.

Kekalahan itu meletakkan Malaysia di tangga ketiga Kumpulan B di belakang Vietnam dan Indonesia selepas berkongsi enam mata tetapi lebih satu perlawanan berbanding kedua-dua pencabar utama tersebut.

Peluang Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke separuh akhir semakin menipis.

Malaysia perlu menewaskan Indonesia di perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 19 Disember ini jika ingin melangkah ke peringkat seterusnya.

Banyak pihak mempersoalkan kredibiliti Cheng Hoe terutamanya keputusan untuk membawa hanya 24 pemain ke Singapura berbanding 30 pemain yang dibenarkan untuk setiap pasukan oleh pihak Persekutuan Bola Sepak Asia (AFF).

Ia dianggap sebagai kesilapan Cheng Hoe sendiri dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertanggungjawab.

Krisis kekurangan pemain bermula selepas Akhyar Rashid, Quentin Cheng, Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim disahkan positif Covid-19.

Ekoran daripada masalah itu, Cheng Hoe mengugut untuk menarik diri daripada kejohanan ini jika AFF tidak membenarkannya menambah pemain.

Situasi itu menerima banyak kecaman daripada para penyokong Harimau Malaya sendiri selain pengendali Vietnam, Park Hang-seo.

Meskipun menerima berita gembira dengan kehadiran pemain kacukan yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools, Cheng Hoe berdepan masalah lain pula.

Kali ini kapten dan pemain pertahanan tengah, Aidil Zafuan Radzak, Shahrul Saad dan Junior Eldstal bergelut untuk pulih daripada kecederaan.

Pada aksi malam tadi, Dominic Tan yang masuk untuk menggantikan tempat Aidil Zafuan masih tercari-cari rentak sebenar.

Dia seakan-akan tiada keserasian untuk bermain bersama-sama tiga lagi pemain pertahanan negara iaitu Rizal Ghazali, Shahrul Saad dan Syahmi Safari.

Kepincangan di posisi pertahanan ini memudahkan pemain-pemain Vietnam untuk bergerak dan merobek gawang negara yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Bahagian tengah juga tidak berfungsi dengan baik meskipun Cheng Hoe memasukkan Kogileswaran Raj untuk membantu Baddrol Bakhtiar.

Bagaimanapun, kemampuan Guilherme de Paula di posisi serangan masih belum menampakkan hasil.

De Paula sebelum ini dikecam hebat para peminat kerana kegagalannya bermain dengan baik, sekali gus membantu kemenangan Harimau Malaya.

Secara keseluruhannya, anak-anak buah Cheng Hoe masih jauh ketinggalan di belakang Vietnam.

Pemain-pemain Vietnam dilihat tidak menghadapi masalah untuk mengawal tempo permainan dan melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gol pasukan negara.

Selain bermain secara berpasukan, mereka juga menampilkan skil individu yang tinggi dan tidak kekok untuk memegang bola.

Kelincahan pemain-pemain Vietnam memaksa anak-anak buah Cheng Hoe lebih banyak bermain secara bertahan yang akhirnya membawa padah bolos tiga gol.

Kini, Cheng Hoe ada masa tujuh hari untuk memastikan para pemain cergas sepenuhnya.

Mereka perlu melupakan kekalahan kepada Vietnam dan fokus untuk menumpaskan Indonesia di aksi terakhir peringkat kumpulan pada 19 Disember ini.

Selain itu, Cheng Ho juga perlu meluangkan lebih banyak masa untuk mengkaji corak permainan Indonesia menjelang perlawanan terakhir itu nanti.

Satu-satunya peluang terbaik adalah menyaksikan perlawanan antara Indonesia dan Vietnam pada 15 Disember ini.

Kemampuan dan kelemahan setiap pemain Indonesia perlu dikenal pasti supaya mudah untuk dikawal pemain-pemain negara kelak.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles