15 DIS: Seramai 11 mangsa lemas dan 25 masih hilang manakala empat mangsa dilaporkan selamat dalam kejadian bot pancung membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan Tanjung Balau di sini pada awal pagi tadi.
Bot pancung dipercayai dari Lombok, Indonesia itu karam dalam insiden kira-kira jam 4.30 pagi.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, mangsa yang terselamat berusia antara 20 hingga 50 tahun iaitu 12 lelaki dan dua wanita manakala tujuh lelaki dan empat wanita pula maut.
“Berdasarkan analisis, kebanyakan bot membawa PATI ke perairan Johor Timur termasuk di Tanjung Balau ini datang dari kepulauan Batam, tetapi menurut mangsa yang selamat, bot itu dari Lombok.
“Bagaimanapun mereka dipercayai transit di kepulauan Batam untuk menaiki sebuah lagi bot pancung dengan enjin berkelajuan tinggi ke perairan Johor Timur, katanya pada sidang akhbar di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pantai Tanjung Balau hari ini.
Menurutnya, PATI dari Kepulauan Batam kebiasaannya membayar RM2,000 hingga RM5,000 seorang untuk masuk atau keluar melalui perairan Johor Timur.