17 DIS: Taufan Rai terus membadai Filipina, mengorbankan sekurang-kurang satu nyawa hari ini dan memusnahkan banyak harta benda.
Bencana alam itu memaksa lebih 300,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Dilaporkan sebagai taufan paling kuat melanda wilayah tengah dan selatan Filipina tahun ini, ia menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir dan terputus hubungan manakala bumbung bangunan tercabut.
Taufan kuat itu membawa angin kencang mencecah kelajuan 195 kilometer sejam ketika melanda Pulau Siargao, semalam.
Namun, agensi ramalan cuaca negara ini memaklumkan kelajuan angin itu menurun kepada 155 kilometer sejam, hari ini.
Agensi bencana nasional mengesahkan seorang maut, manakala dua lagi cedera akibat kejadian taufan terbabit yang dilaporkan turut menuju ke destinasi pelancongan popular, Pulau Palawan.
Menurut agensi itu lagi, lebih 300,000 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan ketika taufan itu merentasi Lautan Pasifik dan membadai negara ini.
Kira-kira 18,000 daripada penduduk terbabit masih belum pulang ke kediaman masing-masing, setakat ini.
Datuk Bandar Surigao, Ernesto Matugas memberitahu ABS-CBN bahawa Taufan Rai melanda bandar yang mempunyai kira-kira 170,000 penduduk itu selama beberapa jam sehingga mengakibatkan pelbagai kerosakan teruk.
“Angin sangat kencang. Segala-galanya rosak, bumbung tercabut dan laluan tersekat akibat tanah runtuh,” katanya.
Sejumlah penerbangan dibatalkan di seluruh negara ini, semalam, dan puluhan pelabuhan ditutup sementara.
Biro cuaca memberi amaran, ombak kuat mencecah ketinggian beberapa meter boleh mengakibatkan banjir dab mengancam nyawa di kawasan tepi pantai yang rendah.
Taufan Rai yang dikenali sebagai Odette oleh penduduk tempatan di Filipina, bergerak merentasi wilayah Visayas menuju ke arah Pulau Palawan, hari ini.
Ia dijangka merentasi Laut China Selatan, esok, menuju ke Vietnam.