31 DIS : Sarawak dan Kelantan menjadi dua negeri terakhir beralih daripada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negera (PPN) kepada Fasa Empat PPN bermula Isnin ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kerajaan bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan, beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) Isnin ini.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN,” katanya.
Dengan keputusan terbaharu berkaitan peralihan fasa PPN itu, ini bermakna seluruh negara kini berada di Fasa Empat PPN.
Hishammuddin turut menyeru agar orang ramai tidak berasa terlalu selesa dengan situasi terkini PPN memandangkan ancaman COVID-19 masih berlaku dan menggugat keselamatan dan kesihatan rakyat terutama dengan penularan varian baharu Omicron pada masa kini.