10 JAN: Mahkamah junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas Aung San Suu Kyi atas tiga pertuduhan jenayah.
Sumber yang mengetahui kes itu memberitahu AFP, pemimpin berusia 76 tahun itu didapati bersalah atas dua pertuduhan berkaitan mengimport dan memiliki walkie-talkie secara haram serta satu kesalahan melanggar peraturan koronavirus.
Jurucakap junta, Mejar Jeneral Zaw Min Tun, mengesahkan keputusan dan hukuman berkenaan, selain memberitahu AFP yang Suu Kyi akan kekal menjalani tahanan rumah, manakala kes lain terhadapnya diteruskan.
Pertuduhan walkie-talkie ke atas pemimpin itu dibuat selepas askar menyerbu rumahnya pada hari rampasan kuasa dan mendakwa menemui peralatan seludup.
Hukuman pada hari ini, menambah hukuman yang dijatuhkan mahkamah ke atas Suu Kyi pada Disember tahun lalu, yang mana beliau dipenjarakan empat tahun kerana menghasut dan melanggar peraturan COVID-19 semasa berkempen.
Pemenang Hadiah Nobel itu ditahan sejak 1 Februari tahun lalu apabila kerajaannya jatuh selepas rampasan kuasa junta, sekali gus mengakhiri percubaan singkat demokrasi di Myanmar.
Perebutan kuasa oleh jeneral junta itu mencetuskan perbezaan pendapat yang meluas, dengan pasukan keselamatan berusaha meredakan ketegangan dengan penahanan besar-besaran sehingga mengakibatkan protes berdarah, apabila lebih 1,400 orang awam terbunuh, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Ketua junta, Min Aung Hlaing memendekkan hukuman itu kepada dua tahun dan berkata, Suu Kyi boleh menjalani hukuman tahanan rumah di ibu negara, Naypyidaw.
Wartawan dihalang daripada menghadiri perbicaraan itu dan peguam Suu Kyi dihalang daripada bercakap kepada media.
Seorang penyelidik Human Rights Watch, Manny Maung, berkata satu lagi sabitan pada hari ini bakal meningkatkan lagi rasa tidak puas hati di seluruh negara.
“Pengumuman mengenai sabitan terakhirnya mengakibatkan peningkatan interaksi kecaman di media sosial dari dalam Myanmar dan begitu membangkitkan kemarahan orang ramai. – AFP