KUALA LUMPUR, 17 Nov — Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari yang dikuatkuasakan di asrama pekerja asing Top Glove Corp Bhd di Meru, Klang, mulai hari ini, melibatkan 5,700 pekerja dan bukannya 13,190 seperti yang dilaporkan, kata syarikat itu.
Dalam satu kenyataan, pengeluar sarung tangan getah itu berkata pekerja yang terjejas mewakili kira-kira 27 peratus daripada jumlah pekerjanya yang seramai 21,000.
“Kilang-kilang kami di Meru terus beroperasi dengan kapasiti yang rendah dan pekerja yang tidak berada di bawah PKPD bekerja di bawah prosedur operasi standard yang ketat selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.
“Sebahagian besar pekerja yang terjejas tidak bergejala dan tidak ada simptom seperti demam atau sebarang sakit lain,” jelas Top Glove.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata 13,190 pekerja yang menginap di asrama syarikat itu di Klang, serta hampir 1,200 penduduk di kawasan sekitarnya, akan ditempatkan di bawah PKPD sehingga 30 Nov, 2020.
— BERNAMA