2 JULAI: Lubang-lubang yang ditemui di sebuah pantai di negeri Florida berpunca daripada tindakan pengunjung melakukan cabaran TikTok, lapor agensi berita United Press International (UPI).
Penduduk setempat, Allison Ward berkata, dia menemui empat buah lubang sedalam 1.5 meter dan lebar 121 sentimeter di tepi pantai di bandar Sanibel, Florida sepanjang minggu lalu.
Saya hampir terjatuh dalam lubang itu. Saya pernah melihat lekukan tetapi tidak pernah melihat lubang dalam seperti ini di tepi pantai,” kata Ward.
Menurut Datuk Bandar Sanibel, Holly Smith, pekerja jabatan kerja raya telah diarah untuk menimbus lubang-lubang terbiar itu.
Menurutnya, kewujudan lubang itu berpunca daripada orang ramai menyahut cabaran di laman TikTok.
“Terdapat cabaran TikTok yang berbunyi ‘Sedalam mana anda boleh menggali?’” kata Smith.
Jabatan polis tempatan menyiarkan gambar di laman Facebook minggu lalu yang menunjukkan lubang besar ditinggalkan di tepi pantai dengan penyodok masih berada di dalamnya.
Justeru, polis meminta sesiapa yang menggali lubang di pantai itu untuk memastikan mereka menutupnya kembali sebelum beredar.
“Sila timbus lubang anda dan bawa barang-barang anda bersama. Lubang yang dibiarkan berbahaya kepada pengunjung pantai lain,” kata jabatan polis. – Agensi