SERDANG – Seorang lelaki yang didakwa menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW serta mencabar pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) mengambil tindakan terhadapnya ditahan polis sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari di kediamannya di Puchong.
“Suspek ditangkap di sebuah rumah di Batu 8, Bukit Kuchai, Puchong oleh pasukan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman,” ujarnya.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.
Dalam video tular berdurasi 36 saat, lelaki tersebut bukan sahaja mencabar NGO agar membunuhnya atas kelantangannya bersuara malah turut menghina Nabi Muhammad, Allah dan agama Islam dengan perkataan kesat dan kurang ajar.
Susulan itu, beliau telah didatangi sekumpulan lelaki sebelum dibelasah. Akhirnya, lelaki berkenaan membuat permohonan maaf atas perbuatannya itu.
Bagaimanapun, netizen masih enggan menerima permohonan maafnya dan mahu pihak berkuasa tampil mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki itu sebagai pengajaran agar menjadi contoh kepada mana-mana individu lain untuk tidak mengulangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.