Tarekat Habib Shah Firdaus cium sejadah, 3 kali sujud

SEREMBAN – Dakwaan Imam Mahadi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini antara punca tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, disiasat Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS).

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata dakwaan itu dimaklumkan oleh sebahagian pengikut tarekat berkenaan kepada JMNS selepas mereka mula menyedari amalan dilakukan Habib Shah Firdaus bertentangan dengan hukum syarak.

Ketika ini Habib Shah Firdaus berada di Makkah bersama lebih 100 pengikut tegarnya kerana menunaikan haji dan umrah.

“Pengikutnya mendakwa Habib Shah Firdaus memaklumkan akan berlaku satu peristiwa besar pada Hari Arafah, baru-baru ini, iaitu Imam Mahadi akan muncul di Makkah. Bagaimanapun, peristiwa besar yang didakwanya itu tidak berlaku.

“Ia membuatkan sebahagian pengikutnya hilang kepercayaan terhadapnya. Habib Shah Firdaus kemudian mendakwa peristiwa itu akan berlaku pula pada 10 Muharam iaitu, pada Isnin ini,” katanya.

Sebelum ini, JMNS menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang beroperasi di Lot 3263, Jalan Labu Batu 8, Kampung Jawa, Labu, di sini, sejak 3 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada Mac lalu, Habib Shah Firdaus bersama kira-kira 300 pengikutnya ke Makkah untuk menunaikan umrah yang difahamkan dia ditaja oleh pihak tertentu.

“Ada kalangan pengikutnya pula dikatakan menjual tanah, kereta dan lain-lain untuk mendapatkan belanja bagi mengikut lelaki berkenaan menunaikan umrah di Makkah,” katanya.

Menurutnya, ketika berada di Makkah, ada kalangan pengikutnya menyedari terdapat amalan yang dibawa Habib Shah Firdaus bertentangan hukum syarak atau meragukan, termasuk mendakwa Imam Mahdi akan muncul pada Hari Arafah.

Mohd Yusof berkata, berikutan itu, pengikut terbabit bertindak pulang ke Malaysia dan membuat aduan kepada JMNS dan seterusnya siasatan dimulakan terhadap tarekat berkenaan.

“Terdapat juga amalan lain yang meragukan didakwa dilakukan Habib Shah Firdaus iaitu melakukan tiga kali sujud pada rakaat terakhir solat dan mencium sejadah,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun lelaki berkenaan enggan pulang ke tanah air dan mendakwa ingin terus menetap di Tanah Suci, manakala beberapa pengikutnya ingin pulang ke tanah air, tetapi menghadapi kekangan dari segi kos perjalanan.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles