KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menarik balik produk aiskrim vanila jenama popular, Haagen-Dazs daripada pasaran selepas dikesan mengandungi bahan karsinogenik jenis etilena oksida (ETO).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan hari ini berkata, ia berdasarkan laporan notifikasi Sistem Amaran Pantas untuk Makanan Suruhanjaya Amaran Makanan Eropah (EURASAFF).
“Notifikasi itu menyatakan berlaku penarikan balik produk aiskrim dari Perancis yang mengandungi ekstrak vanila dari Madagascar dikesan mengandungi ETO melebihi tahap dibenarkan.
“Produk aiskrim terbabit diedar ke beberapa negara termasuk Malaysia,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, sejak isu itu dilaporkan dan notifikasi diterima KKM pada Julai lalu, tindakan sewajarnya diambil yang mana syarikat mengimport menarik balik produk aiskrim terbabit di pasaran secara sukarela.
“Pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan produk terbabit tidak dipasarkan di negara ini.
“ETO adalah sebatian gas kimia bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.
“Ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan,” katanya.