KUALA LUMPUR – Polis menyelamatkan seorang wanita warga asing yang dipaksa bekerja sebagai pelacur dan menahan 17 gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah premis di Taman Fadason, dekat Jinjang, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menjalankan serbuan ke atas premis yang disyaki dijadikan sarang pelacuran itu pada pukul 11 pagi.
“Seramai 19 individu berjaya diberkas yang mana 18 daripadanya adalah wanita warga asing berusia 25 hingga 39 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran.
“Selain itu, kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang dipercayai merupakan penjaga kepada kesemua wanita warga asing berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Beh, siasatan awal mendapati salah seorang tangkapan, wanita warga asing yang berusia 39 tahun telah dipaksa melacur dan tidak dibayar gaji.
“Mangsa telah masuk ke dalam negara dua minggu lalu melalui Stulang Johor untuk bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan (GRO), namun dipaksa menjadi pelacur dan dibawa ke sebuah hotel di Kuala Lumpur.
“Baki 17 lagi wanita warga asing mengaku bekerja sebagai GRO tanpa paksaan dan menerima gaji hasil dari perkhidmatan yang telah mereka tawarkan,” ujarnya.
Jelasnya, kesemua 17 wanita asing terbabit telah bekerja selama dua tahun di Malaysia dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, kesemua tangkapan kini ditahan selama 14 hari sehingga 27 Ogos ini, manakala lelaki warga tempatan itu direman enam hari sehingga 19 Ogos ini bagi membantu siasatan.
“Pihak mahkamah turut meluluskan permohonan polis untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari bagi tujuan melindungi dan menempatkan mangsa yang dipaksa menjalankan aktiviti pelacuran itu di rumah perlindungan,” ujarnya.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.