BUTTERWORTH – Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan adik lelakinya masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan denda RM807,475 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, 10 tahun lalu.
Hakim Zulhazmi Abdullah memutuskan hukuman itu ke atas Badaruddin Mohamed, 56, dan adiknya, Mustafa Kamal, 50, yang menghadapi sembilan pertuduhan selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah pada akhir prosiding pembelaan kes hari ini.
Dua beradik itu turut berdepan hukuman penjara antara sebulan hingga enam bulan mengikut pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Hakim turut membenarkan permohonan peguam untuk menangguhkan hukuman ke atas anak guamnya yang akan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi, dan menetapkan jaminan masing-masing RM8,000 ke atas kedua-dua tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport, selain melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes rayuan selesai.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Shamsul Sulaiman.
Pada Oktober 2018, Badaruddin mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya, MK Urusniaga (M) Sdn Bhd, bagi membekalkan pelbagai barangan untuk jabatan tempat dia bekerja.
Ia membabitkan pembelian barangan seperti kamera dan barangan pejabat yang keseluruhannya bernilai RM160,163.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Komunikasi Strategik dan Sustainable Tourism Research Cluster USM di Georgetown, dekat sini, antara September 2011 hingga November 2012.
Badaruddin didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, sementara Mustafa Kamal didakwa atas pertuduhan bersubahat di tempat dan lokasi sama mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.