ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dituduh menyamar sebagai Raja Muda Perak pada Jun lalu didenda RM4,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohammad Fadhil Lope, 39, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja kampung didakwa cuba memperdaya petugas di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman bagi tujuan dibenarkan berjumpa Sultan Kedah di pejabat berkenaan pada jam 11.30 pagi, 28 Jun lalu.
Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Syafiq Ahmad.
Muhammad Syafiq dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya berikutan masih menanggung anak yang bersekolah dan ia kesalahan pertamanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atas tertuduh dan penjara 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan tindakan tertuduh yang hadir ke Pejabat Sultan Kedah bersama dua wanita, sebelum memperkenalkan diri menggunakan sekeping kad kuning kepada petugas berkenaan.
Kad itu memaparkan gelaran dan nama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.
Bagaimanapun, hasil semakan dilakukan petugas itu dengan Bahagian Protokol dan Istiadat Negeri Perak mendapati tiada kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama, gelaran dan nombor kad pengenalan berkenaan.
Petugas itu kemudian membuat laporan polis kerana bimbang suspek terus menyalahgunakan gelaran diraja dan menyamar sebagai kerabat Diraja Perak.