BUKAN kelajuan yang dicari. Namun, berlari menyusuri jalan lama Bukit Putus memberikan kepuasan yang tersendiri kepada pelari veteran yang lebih dikenali sebagai Belolah.
Disertai sekumpulan pelari yang rata-rata melepasi usia 50 tahun, mereka akan memulakan aktiviti larian santai seawal pukul 7 pagi pada setiap hari Sabtu di jalan lama Kuala Pilah – Seremban, Negeri Sembilan.
Bermula di tapak parkir Starfresh Agro Park, mereka akan merentasi laluan mendaki ke puncak Bukit Putus sejauh 4.5 kilometer (km) sebelum menempuh trek menurun sehingga ke persimpangan jalan baharu Kuala Pilah – Seremban kira-kira 1.5km lagi.
Kemudian mereka akan berpatah balik ke Starfresh Agro Park yang jarak keseluruhannya sejauh 12km manakala elevation gain sekitar 220 meter.
Larian yang mengambil masa kurang daripada dua jam itu seakan-akan tidak dirasai kerana para pelari rancak berbual sepanjang trek.
Meskipun perbualan lebih terarah kepada isu semasa yang berlaku dalam negara, sesekali topik tentang keagamaan turut disuarakan untuk saling mengingati.
Apa yang menariknya berlari di jalan ini adalah kesegaran udara kerana dikelilingi Hutan Simpan Gunung Angsi yang masih terpelihara.
Adakalanya pelari akan disapa angin sejuk dan kabus tebal yang sangat menyegarkan di sepanjang jalan.
“Kehadiran pelari semakin bertambah setiap minggu. Ini satu petanda yang baik kerana ia membuktikan aktiviti larian semakin digemari dalam kalangan pelari.
“Banyak kelebihan jika kita berlari. Ia bukan sahaja menyihatkan tubuh badan tetapi apa yang lebih penting mengeratkan ukhuwah dalam kalangan pelari-pelari veteran ini.
“Kami mengalu-alukan penyertaan orang ramai. Tidak hanya terbuka kepada pelari veteran tetapi kami turut mempelawa anak-anak muda untuk turut serta dalam aktiviti sihat ini.
“Kami berharap suatu hari ini aktiviti ini akan menjadi rutin seharian terutamanya dalam kalangan penduduk di sekitar kawasan ini.
“Kita perlu jadikan kawasan ini sebagai tempat riadah yang selesa dan selamat kepada pengunjung,” kata Mohd Noor Lat yang lebih dikenali sebagai ‘admin’ team Belolah.
Bagaimanapun, fokus pelari kadangkala terganggu dengan lambakan sampah-sarap yang dibuang individu tidak bertanggungjawab di beberapa lokasi di tepi jalan itu.
Lantaran itu, Kerajaan Negeri Sembilan, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Daerah Kuala Pilah dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan digesa turun padang untuk membanteras aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan tersebut.