URUGUAY yang dianggap pasukan bukan pilihan melaungkan amaran mampu mencipta keputusan luar biasa pada saingan Piala Dunia Qatar 2022.
Penyerang skuad Le Celeste, Darwin Nunez berkata, meskipun sedar status mereka sebagai bukan pasukan pilihan, pemain Liverpool itu menegaskan, mereka sedia untuk memberi tentangan kepada sesiapa sahaja yang mahu menghalang impian Uruguay menjadi juara.
“Saya sedar kami akan beraksi pada Piala Dunia dengan status bukan pasukan pilihan, namun kami tidak takut kepada sesiapa dan sedia untuk menampilkan aksi terbaik menentang mana-mana pasukan.
“Kami mahu melangkah jauh pada kejohanan kali ini. Objektif kami adalah untuk memenangi Piala Dunia dan ia akan bermula dengan menentang Korea Selatan pada aksi pembukaan nanti,” katanya.
Pada masa sama, Nunez turut menggesa rakan-rakan sepasukan supaya memberikan tumpuan sepenuhnya menjelang aksi menentang Korea Selatan pada 24 November ini bagi memastikan Uruguay memulakan saingan dengan langkah positif.
“Perlawanan pertama menentang Korea sangat penting kerana ia bakal menjadi penentu kepada hala tuju pasukan pada Piala Dunia kali ini. Kami akan bertemu pasukan-pasukan kuat dan itulah sebabnya kami di sini,” ujarnya. – AGENSI