SUNGAI PETANI – Tujuh lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang melarikan wang tunai serta barang kemas bernilai kira-kira RM80,000 dalam kejadian samun di sebuah rumah di Sidam Kiri, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, penghuni rumah yang juga wanita warga emas berusia 67 tahun bersama anak lelaki, menantu dan lima cucunya dikatakan sedang tidur dan berehat sebelum dikejutkan dengan kehadiran semua suspek.
Suspek mengacukan parang di leher cucu lelaki wanita berkenaan yang berusia 14 tahun sebelum mengugut menyerahkan semua barangan berharga, selain memberi amaran akan membunuh semua mangsa jika mereka ditahan polis.
Difahamkan, suspek tidak mengetahui mangsa disamun itu adalah ibu kepada seorang pegawai polis bertugas di Pulau Pinang.
Suspek dikatakan menceroboh masuk melalui pagar sebelum mengumpil pintu dapur menggunakan besi di rumah berkenaan yang terletak berhampiran ladang kelapa sawit.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata hasil siasatan mendapati mangsa yang ketika itu berada di dapur terdengar bunyi kuat di pintu sebelum dia cuba meninjau.
Katanya, mangsa terkejut apabila melihat tujuh lelaki bertopeng dan bersenjata yang kemudian membawanya berkumpul bersama anak, menantu serta lima cucu dalam sebuah bilik.
“Seorang daripada suspek mengacukan parang di leher cucu lelaki mangsa sebelum meminta mereka menyerahkan semua barang berharga jika tidak mahu perkara buruk berlaku.
“Mangsa, anak dan menantu kemudian menyerahkan wang tunai dan barang kemas dianggarkan bernilai RM80,000,” lapor BH Online hari ini.
Zaidy berkata, suspek kemudian mengikat mangsa sebelum beredar dan sempat memberi amaran akan membunuh mereka jika kejadian itu dilaporkan atau suspek ditahan polis.
“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut kejadian itu dan pemeriksaan mendapati suspek turut mengambil alat perakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Antara barang disamun dalam kejadian itu adalah 12 utas rantai dan gelang emas, telefon pintar, tabung serta wang tunai dan pelbagai barang berharga lain.