DUNIA Arab turut meraikan kejayaan Maghribi menewaskan Portugal 1-0 di Qatar malam tadi, sekali gus menjadi negara Afrika pertama layak ke separuh akhir Piala Dunia.
Rakyat Maghribi berkumpul di Casablanca dan berarak di jalanan bagi meraikan kejayaan bersejarah itu.
“Maghribi sudah melakukan sesuatu yang mustahil dan kini kami mahukan trofi itu.”
“Tiada yang mustahil dalam bola sepak, itulah keajaiban sukan ini,” kata bekas pemain Maghribi, Abderrazak Khairi yang meledak dua gol menentang Portugal pada Piala Dunia 1986 sekali gus menjadi negara Afrika pertama layak ke pusingan kalah mati.
Sementara itu di Paris, penyokong Maghribi berhimpun di Champs Elysees yang menjadi lokasi penyokong Perancis meraikan kejayaan pasukan mereka menjulang Piala Dunia 2018.
“Satu kebanggaan untuk semua negara Arab dan Afrika,” kata Maamar, 27, yang mengibarkan bendera Maghribi namun berasal dari Algeria.
Kejayaan pasukan No.22 dunia itu hadir menerusi penyerang Sevilla, Youssef En-Nesyri apabila meledak gol tunggal perlawanan selepas menanduk masuk hantaran daripada Yahia Attiyat Allah pada minit ke-42.
Ia sekali gus memahat sejarah baharu buat arena bola sepak Atlas Lions yang mana pencapaian terbaik mereka di pentas Piala Dunia adalah pusingan 16 terbaik pada edisi 1986 di Mexico.
Dalam pada itu, kejayaan Maghribi meranapkan impian Cristiano Ronaldo menjulang trofi kebanggaan itu.
Penyerang berusia 37 tahun itu meninggalkan Piala Dunia dengan tangisan apabila berjalan merentasi terowong dengan impiannya untuk memenangi trofi berprestij itu berkecai.
Ini kerana, Ronaldo mungkin tiada lagi peluang untuk beraksi di Piala Dunia, malah dalam perlawanan tersebut dia sekadar turun sebagai pemain gantian.
Meskipun berjaya memecahkan rekod sebagai pemain terbanyak meraih kap antarabangsa dengan 196 penampilan, Ronaldo meninggalkan padang selepas wisel penamat dibunyikan dengan linangan air mata dan mengabaikan pemain Maghribi yang meraikan kejayaan bersama penyokong mereka.