PENAMPANG – Seorang Renjer Hidupan Liar maut diserang gajah pygmy dalam kejadian di kandang gajah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi, di sini pada semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa Joe Fred Lansou, 49, mengalami kecederaan pada bahagian perut akibat tusukan gading gajah berkenaan.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, kejadian berlaku ketika renjer berkenaan melakukan rutinnya di kandang gajah berkenaan.
“Kejadian berlaku terlalu cepat dan mendiang cedera di bahagian abdomen akibat ditusuk gading,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati mangsa sedang menjalankan rutin memberi makan dan membersihkan haiwan itu.
“Tiba-tiba mangsa diserang seekor gajah dewasa ketika memberi rawatan kepada anak gajah yang cedera.
“Akibat serangan itu, mangsa parah di bahagian dada serta perut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan,” katanya.
Mohd Haris berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.