KUALA LUMPUR – Tukang masak yang maut akibat letupan daripada bungkusan di atas keretanya di Pandan Indah, Ampang Jaya, di sini malam tadi, dikatakan menerima satu panggilan telefon lalu bergegas keluar menuju ke kenderaannya.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika itu dia dalam perjalanan menjemput anaknya dari rumah mentua di Pandan Indah dan singgah berhampiran stesen minyak berhampiran lokasi kejadian pada jam 8.45 malam.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan sangat kuat sehingga telinga saya berdengung. Saya tidak terus ke lokasi kerana bimbang ada lagi letupan. Selepas seketika, saya ke situ dan nampak mangsa dalam keadaan berlumuran darah menjerit minta tolong sebelum dibawa dengan kenderaan orang awam ke hospital.
“Berdasarkan maklumat orang awam di lokasi, terdapat serpihan letupan mengandungi bateri, belerang, pisau dan ‘power bank’ di situ. Saya juga dimaklumkan oleh pekerja restoran di situ, mangsa terima panggilan telefon memintanya ambil barang di luar restoran beberapa minit sebelum kejadian,” lapor BH Online hari ini.
Dalam kejadian itu, tukang masak berusia 28 tahun berkenaan dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan diletakkan di atas keretanya jenis Toyota Corolla Altis di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah.
Sebaik mangsa memegangnya, bungkusan dalam plastik itu dipercayai terus meletup, menyebabkan lelaki terbabit cedera serius pada badan dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang oleh orang awam.
Mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.45 malam ketika menerima rawatan.
Polis menjalankan siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah bunuh.