LIPIS – “Ketika kami bertiga sedang merayau-rayau di dalam hutan mencari petai, tiba-tiba seekor gajah muncul di hadapan dan menyerang kami.
Demikian kata Borhan Yok Manin, 24, abang kepada Andy Yok Manin, 15, yang maut dalam serangan gajah liar di kawasan hutan di Kampung Tual, Pos Sinderut, di sini, tengah hari semalam.
Borhan berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama Andy dan seorang lagi rakan dikenali sebagai Apin keluar dari rumah sekitar jam 8 pagi untuk mencari petai di dalam hutan.
“Selepas lima jam berjalan, kami dikejutkan dengan bunyi bising dari arah semak sebelum seekor gajah liar muncul secara tiba-tiba.
“Kami semua bertempiaran lari mencari tempat bersembunyi.
“Ketika itu saya sempat melihat Andy terjatuh dan gajah tersebut terus menyerang adik saya,” katanya ketika ditemui di Rumah Rehat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), di sini, hari ini.
Borhan berkata, dia lari ke arah sebuah bukit, manakala rakannya memanjat pokok untuk menyelamatkan diri.
“Kawan saya (Apin) lihat sendiri gajah tersebut menendang adik saya seperti bola. Haiwan itu kemudiannya menutup tubuh Andy dengan daun-daun kering.
“Hampir sejam gajah liar itu duduk dekat mayat Andy sebelum ia berlalu pergi secara perlahan-lahan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, selepas gajah tersebut berlalu, dia bersama Apin membawa mayat adiknya pulang ke rumah.
Sementara itu, ibu mangsa, Normah Yok Isa, 48, berkata, ketika kejadian dia bersama suami ke kebun untuk mencari durian sebelum dikejutkan dengan berita yang menimpa anak kelimanya.
“Sebaik diberitahu oleh orang kampung, saya bersama suami bergegas pulang ke rumah dan terkejut melihat tubuh Andy yang berlumuran darah.
“Biar pun sedih dan tidak menyangka kejadian malang seperti ini berlaku, tapi saya dan keluarga reda,” katanya.
Dalam kejadian tengah hari semalam, seorang remaja Orang Asli maut diserang seekor gajah liar di Kampung Tual, Pos Sinderut.Ketua Polis Daerah Lipis , Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 4.30 petang mengenai kematian seorang remaja di kampung tersebut kerana diserang gajah liar. – Astro Awani