JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki bernama Fahim ditemui dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang Selasa lalu yang dibawa oleh kapal dari Bangladesh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah pemerdagangan manusia dikesan dalam kes budak lelaki warga asing itu.
“Bila kapal itu tiba di Pelabuhan Klang, kontena diturunkan dan didapati ada satu kontena ditemui seorang budak lelaki, nama dia Fahim.
“Dia (kanak-kanak) satu-satunya yang ditemui, jadi laporan polis dibuat, disiasat dan dibawa ke pemeriksaan kesihatan. Kebetulan kanak-kanak ini demam dan proses penghantarannya pulang dibuat mengikut saluran undang-undang.
“Kita tidak buat kesimpulan kepada aspek permerdagangan manusia lagi kerana siasatan awal mendapati dia masuk (kontena) kemudian tertidur dan tiba sampai sini. Jadi pihak berkuasa telah buat siasatan, pastikan dia sihat dan kemudian proses penghantaran pulang,” katanya.
Kapal berkenaan dilaporkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.
Video mengenai penemuan kanak-kanak ini dikesan tular menerusi media sosial selepas dia dikesan berada dalam kontena berkenaan selama lebih kurang enam hari.
Kandungan video berdurasi 56 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah tidak bermaya keluar dari kontena, sebaik pintunya dibuka oleh anggota Polis Bantuan Pelabuhan.
Berdasarkan sumber, seorang kakitangan pelabuhan dikatakan terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena itu.
Berdasarkan siasatan awal kanak-kanak itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia diangkut ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.