KUALA LUMPUR – Representasi dikemukakan pemilik kelab komedi, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, bagi menggugurkan tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman, berkata pihaknya memperoleh keputusan representasi pemilik Crackhouse Comedy Club itu hari ini.
“Kami ada lapan hingga 10 saksi untuk perbicaraan kes ini. Kemungkinan lapan akan dipanggil,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hasniah Ab Razak, hari ini.
Susulan itu, peguam bela Mohamad Rizal, Pravin Mahentharan, memaklumkan akan memfailkan representasi kedua susulan perkembangan baharu itu.
“Alasan sama untuk failkan representasi kedua iaitu gugurkan pertuduhan, namun perkara baharu ada dimasukkan. Saya mohon tarikh sebutan seterusnya ditetapkan bagi keputusan representasi baharu.
“Saya memerlukan dua hingga tiga minggu untuk failkan representasi itu dan mohon keputusannya sebulan daripada sekarang,” katanya.
Hakim menetapkan 6 April ini untuk sebutan kes seterusnya, manakala 14 April serta 2, 3, 22 dan 31 Mei serta 1 dan 2 Jun untuk perbicaraan.
“Saya tetapkan terus tarikh bicara sebab kes ini sudah lama. Tarikh itu mengambil kira pemfailan representasi itu.
“Kalau representasi kedua diterima, kita tak teruskan dengan perbicaraan,” katanya.
Mohamad Rizal, 41, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.