JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat semula setakat jam 8 pagi tadi membabitkan seramai 2,511 orang terdiri daripada 697 keluarga, berbanding 2,191 orang daripada 610 keluarga, pada jam 4 petang semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata mangsa banjir meningkat membabitkan penduduk di Segamat, Mersing dan Batu Pahat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata empat PPS dibuka iaitu masing-masing satu di Segamat dan Mersing, manakala dua di Batu Pahat, menjadikan sebanyak 33 PPS yang masih beroperasi setakat ini.
“Mersing masih merekodkan mangsa banjir tertinggi setakat pagi tadi iaitu seramai 836 orang daripada 244 keluarga, berbanding 796 orang daripada 234 keluarga pada 4 petang semalam.
“Semua mangsa banjir itu ditempatkan di tujuh PPS sehingga kini.
“Batu Pahat pula kedua tertinggi dengan 694 mangsa daripada 194 keluarga dan ditempatkan di tujuh PPS di daerah itu, berbanding 414 mangsa daripada 117 keluarga petang semalam,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Kota Tinggi dan Kluang turut mencatatkan jumlah mangsa banjir melebihi 400 orang, jumlahnya tidak berubah sejak petang semalam.
Selain dua daerah itu, katanya, Tangkak dan Muar juga tidak menunjukkan perubahan angka sejak petang semalam dengan masing-masing hanya sebuah PPS sahaja dibuka.
Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, Johor masih dalam amaran waspada kerana dijangka mengalami hujan berterusan sehingga Isnin ini, terutamanya di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian.