LIPIS – Penduduk Orang Asli Kampung di Pos Lenjang bimbang dengan tindakan gajah yang semakin agresif dipercayai lapar hingga menyebabkan haiwan itu mengejar kenderaan penduduk di situ.
Kejadian terbaru berlaku apabila sebuah kereta hampir dipijak dan dirosakkan gajah berkenaan dipercayai terdesak mahu mencari makanan pada jam 11 malam kelmarin.
Penduduk Kampung Simoi Lama, Atan Dan, 40, berkata sejak dua hari lalu, penduduk kampung menggunakan laluan balak untuk mencari hasil sumber hutan termasuk buah durian pada waktu siang.
“Bagaimanapun, pada malamnya, ada penduduk dikejar gajah liar yang bersembunyi berdekatan jalan balak dan kejadian ini sangat menakutkan penduduk setempat.
“Gajah berkenaan bersembunyi berdekatan jalan balak dan apabila nampak kereta atau motosikal lalu di situ, mereka akan mengejarnya mungkin sebab lapar serta terdesak untuk mendapatkan makanan,” katanya.
Katanya, orang luar yang merentasi jalan balak di Kampung Titom dan Kampung Simoi Baru, perlu lebih berhati-hati kerana terdapat antara tujuh hingga 10 ekor gajah liar yang ditemui awal bulan ini yang sudah berpecah dan bersembunyi di pinggir jalan untuk mendapat makanan daripada kenderaan.
Seorang penduduk Kampung Simoi Lama, Norfini Ajik, 46, menceritakan kejadian terbaru apabila seekor gajah liar yang bersembunyi di pinggir jalan balak tiba-tiba muncul lalu mengejar kenderaan termasuk motosikal penduduk berdekatan Kampung Titom.
“Kereta seorang penduduk dengan muatan buah durian dikejar gajah liar yang muncul dari belakang dan hampir memijak kereta, mujurlah hanya kemek di bahagian belakang dan pecah cermin saja kerana pemiliknya sempat memecut dari tempat kejadian.
“Haiwan ini mahukan makanan dan mengejar kenderaan penduduk Orang Asli yang turut berlaku di beberapa kawasan perkampungan di Pos Lenjang dekat sini,” katanya.
Norfini berkata, dia sudah menetap di Kampung Simoi Lama hampir 50 tahun dan sebelum ini, penduduk di situ tidak berdepan ancaman gajah liar.
“Kami bebas ke mana-mana dan selesa bercucuk tanam di kebun tanpa gangguan gajah sebelum ini, tetapi kini hidup dalam kebimbangan dengan serangan gajah yang mungkin kelaparan,” katanya. – BH Online