BATU PAHAT – Seramai 11 individu ditahan susulan sebuah video tular memaparkan kejadian pergaduhan membabitkan seorang penghantar makanan dan beberapa individu lain.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Ismail Dollah berkata, kesemua lelaki yang ditahan berusia antara 17 hingga 62 tahun.
“Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima laporan polis pada pukul 2.30 petang semalam berlakunya pergaduhan antara pengadu dan ahli keluarganya dengan seorang lelaki penghantar makanan di sebuah rumah inap desa di Sri Gading, Batu Pahat, semalam.
“Dalam kejadian ini, penghantar makanan turut membuat laporan berhubung kejadian itu. Kedua-dua pengadu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan.
“Susulan laporan ini, polis menahan 11 lelaki warga tempatan berusia lingkungan 17 sehingga 62 tahun,” katanya hari ini.
Ismail berkata, punca kejadian masih disiasat dan mereka ditahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Terdahulu, sebuah video berdurasi satu minit tiga saat menunjukkan seorang lelaki berkepala botak memakai baju merah memarahi seorang penghantar makanan.
Penghantar makanan yang hilang sabar melepaskan tumbukan ke arah muka lelaki berkenaan.
Susulan itu, penghantar makanan itu turut ditendang sehingga jatuh sebelum beberapa individu lain turut membelasahnya.
Seorang wanita percayai isteri kepada penghantar makanan itu bertindak melindungi lelaki itu sebelum turut disepak.