BAYAN LEPAS – Mayat anggota polis berpangkat Sarjan ditemukan dengan tiga kesan tembakan di kawasan belakang Balai Polis Bayan Lepas, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata dalam kejadian jam 3.30 petang itu, sepucuk pistol turut ditemukan pada mayat mangsa.
“Mangsa ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan pada leher, dada dan kepala.
“Polis juga menemukan sepucuk pistol bersama mangsa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kamarul berkata, mangsa berusia 51 tahun adalah anggota yang bertugas di balai berkenaan.
“Kes masih dalam siasatan polis. Orang ramai dinasihati tidak menyebar sebarang spekulasi berhubung kejadian,” katanya.