JOHOR Darul Ta’zim (JDT) ternyata tiada tandingan, apabila menundukkan Sri Pahang FC 2-0 sekali gus memadam rekod tanpa kalah pasukan itu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Kemenangan kali ke-12 berturut-turut oleh pasukan kendalian Solari Esteban Andres itu, menguatkan lagi cengkaman Harimau Selatan sebagai pendahulu liga.
Kedua-dua pasukan bermula cemerlang apabila melancarkan serangan bertali arus sebelum gawang skuad Tok Gajah dibolosi pemain sensasi Bergson Gustavo Silveira Da Silva, pada minit kecederaan babak pertama perlawanan.
Sebaik babak kedua bemula, JDT terus menguasai perlawanan apabila Sri Pahang FC terus dihukum apabila benteng mereka sekali lagi runtuh pada minit ke-74, menerusi hantaran Arif Aiman Mohd Hanapi yang disudahi dengan rembatan Fernando Martin Forestieri dari luar kotak penalti.
Jaringan itu menyaksikan keputusan kekal 2-0 sehingga tiupan wisel penamat.
Sementara itu, dalam aksi penuh dramatik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan, Selangor menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 3-2.
Pasukan pelawat kendalian Nafuzi Zain, tidak menunggu lama untuk meledak jaringan gol pembukaan menerusi pemain import Amirbek Juraboev dari Tajikistan pada minit keenam perlawanan, menerusi sepakan penjuru Manuel Hidalgo, namun Skuad Gergasi Merah kembali bangkit apabila Ayron del Valle tenang menyamakan kedudukan pada minit ke-23.
Kedua-dua pasukan kembali memperkemaskan corak permainan, namun penyerang import KDA FC, William Lira berjaya meledak gol enam minit kemudian, selepas mengatasi benteng pemain pertahanan, Yazan Al-Arab dan Sharul Nazeem.
Enggan tewas di laman sendiri, pemain sayap sensasi Selangor, Mohamad Faisal Abdul Halim bijak mengambil peluang menambah gol kedua pasukan dalam keadaan kucar kacir di hadapan gawang pada minit ke-40.
Bersambung babak kedua perlawanan, pemain Selangor garang melakukan beberapa percubaan berani sekali gus menyaksikan Noor Al-Rawabdeh muncul wira, apabila menoktahkan kemenangan pada minit ke-78, yang dimanfaatkan selepas pasukan pelawat bermain dengan 10 pemain setelah pertahanan Kamil Akmal Abd Halim dilayangkan kad merah.
Sementara itu, skuad Penyu berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menang tipis 1-0 ke atas Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), menerusi gol milik Engku Nur Shakir Engku Yaacob yang menerima umpanan cantik Sony Norde pada minit ke-75.
Sementara itu, aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menyaksikan Kuala Lumpur City FC terpaksa akur apabila keputusan seri 1-1 bersama Kuching City. – (Sumber Sinar Harian Online)