Doktor ramal Ibnor Riza Cuma ada 6 bulan untuk hidup

AMPANG : Diramal hanya ada enam bulan untuk hidup, penyanyi bersuara lunak era 1980-an, Ibnor Riza, 62, tidak putus semangat meneruskan ikhtiar melawan penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapi.

Ibnor yang popular dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah, percaya, soal ajal dan maut sudah ditetapkan Allah. Justeru, beliau tidak mahu terus mengalah dan berputus asa, sebaliknya, gagah berjuang untuk hidup.

Ibnor yang menghidap kanser sejak sembilan bulan lalu memberitahu, selagi dirinya mampu berusaha, beliau akan terus melawan penyakit itu.

“Kalau hendak difikirkan apa yang doktor cakap, saya ada hanya enam bulan untuk hidup, saya jadi sedih. Doktor berterus-terang selepas rawatan kemoterapi kesembilan, baru-baru ini, gagal.

“Jadi, maknanya saya hanya ada enam bulan untuk hidup. Tetapi saya tidak mahu pegang kata-kata itu. Saya percaya kepada Allah. Kanser ini, kita kena lawan.

Ibnor Riza disahkan menghidap kanser sejak 9 bulan lepas

“Lagipun, saya ada keluarga dan anak. Mereka perlukan saya. Dengan sokongan yang diberi, takkan saya hendak hampakan ramai orang.

“Saya kena kuat walaupun saya tidak sekuat mana pun sekarang ini,” katanya kepada BH Online ditemui pada program amal, Malam Untukmu Ibnor anjuran Persatuan Melodi Kenangan Artis Dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) dengan kerjasama Hotel Grand Barakah, Ampang, kelmarin.

Program amal itu berjaya mengumpul dana berjumlah RM17,000 untuk membantu menampung kos rawatan perubatan Ibnor.

Pada program amal itu, kira-kira 800 tetamu hadir, termasuk penggiat seni, Datuk Yusof Haslam, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Hail Amir, Datuk Siti Fairuz, Sophia Ibrahim, Jay Jay, Mubarak Majid dan Nizam Laksamana.

Ibnor berkata, atas sokongan diterima, beliau nekad mencuba rawatan kemoterapi ke-10 yang dijangka membabitkan kos kira-kira RM30,000.

“Saya perlukan dua sesi kemoterapi. Satu sesi sahaja membabitkan kos RM16,000. Jadi, semuanya kira-kira RM30,000 hingga RM32,000.

“Tetapi, kalau rawatan ini gagal, saya kena jalankan ‘transplant’ yang membabitkan kos RM400,000. Lagilah pening hendak cari duit.

“Namun, pada masa sama, saya kena cari rawatan alternatif. Itu pun atas ihsan ramai pihak yang sanggup tawarkan secara percuma.

Penyampaian cek oleh Pemekar kepada Ibnor Riza – Sumber Gambar Harian Metro Online

“Ada pihak pertikai kenapa saya jalani rawatan di hospital swasta yang menelan belanja tinggi. Kalaulah anda tahu, saya sendiri lebih suka dirawat di hospital kerajaan.

“Namun, pesakit kanser sahaja faham bagaimana kanser ini (hendak dirawat),” katanya yang menelan antara 24 biji pil hingga 30 biji pil sehari.

Berkongsi tahap kesihatannya sekarang, Ibnor yang tampak lesu dan lemah selepas menjalani rawatan di pusat perubatan, Darussyifa’ memberitahu, dia perlu menjaga emosi dan pemakanan bagi mengelakkan tekanan.

“Saya tidak boleh ‘stress’. Jika tertekan, kelenjar pada leher akan membengkak. Jadi, saya kena selalu jaga emosi. Sebab itulah, saya mahu cepat lakukan rawatan kemoterapi. Apa yang bahaya sekarang adalah jika sel kanser hampir ke otak.

Antara rakan-rakan artis yang pernah melawat Ibnor Riza di hospital ketika dirawat

“Kalau sel kanser pergi ke otak, tidak boleh buat apa-apa. Kanser saya dalam darah. Kita tidak boleh kawal kanser itu merebak.

“Alhamdulillah, ada pihak seperti PEMEKAR yang sudi mendapatkan bantuan. Disebabkan itu, walaupun saya tidak berapa larat, badan menggigil selepas sembilan kali dicucuk tulang belakang, tidak boleh berjalan dan tak stabil, namun saya kena lawan.

“Saya kena hargai ramai yang mengusahakan program malam ini (kelmarin). Saya bersyukur dikelilingi insan yang baik,” katanya.

Melihat banyak bantuan dihulur, Ibnor terharu dan bersyukur banyak pihak, termasuk rakan artis seangkatan dan peminat, prihatin dengan nasib dirinya.

“Rasa macam tak percaya pun ada. Ramai kawan membantu. Itu yang membuatkan saya bersemangat. Kalau tidak, saya hampir putus asa. Rasa macam boleh atau tidak saya hendak hidup.

“Saya bersyukur dan sangat seronok. Namun, kadang-kadang takut sebab bukan saya seorang yang sakit. Tetapi saya percaya setiap orang ada rezeki berbeza.

Isteri Ibnor Riza, Sarimah Sulaiman sentiasa memantau tahap kesihatan suaminya ketika di rumah

“Terima kasih kepada semua yang menyumbang secara diam-diam. Ada antara mereka saya tidak kenal pun. Saya sangat hargai. Bantuan ini dapat saya manfaatkan untuk menampung kos rawatan,” katanya.

Pada majlis amal itu, dalam kudrat terbatas, Ibnor tampil menyanyikan lagu Setiamu Tiada Lagi dan Mimpi Yang Tak Sudah. Hakikatnya, sudah sembilan bulan Ibnor tidak menyanyi sejak menghidap kanser yang memberi kesan kepada vokalnya.

Ibnor turut berduet bersama penyanyi, Khairool Idlan menerusi lagu Bimbang Serumpun Kasih Terbuang.

“Sekarang saya tidak menyanyi langsung. Saya hadapi masalah suara. Baru sekarang suara saya datang balik. Sekarang suara saya hanya ada antara 40 peratus hingga 50 peratus.

“Kalau ada suara, saya boleh cari makan lagi. Tetapi apabila tiada suara, hilanglah ‘modal’ saya… Itu yang buatkan saya sangat sedih,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor disahkan menghidap pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain teruk.

Ibnor sah dijangkiti kanser selepas diperiksa doktor susulan bengkak pada leher. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles