RIYADH: Cristiano Ronaldo meledak satu gol ketika Al-Nassr terselamat daripada ancaman dalam aksi Liga Juara-Juara Asia awal pagi tadi apabila kelab Liga Pro Saudi itu bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Istiklol dari Tajikistan 3-1 di Riyadh.
Senin Sebai membuka tirai jaringan susulan serangan balas untuk meletakkan kelab dari Dushanbe itu di depan seminit sebelum rehat dan Istiklol mampu bertahan sehinggalah Ronaldo menyamakan kedudukan dengan penamat bijak pada minit ke-66.
Anderson Talisca bagaimanapun membantu kelab Saudi itu mendahului enam minit kemudian dan pemain Brazil itu memastikan kemenangan dengan berbaki 13 minit apabila dia melakukan rembatan leret ke penjuru gol lawan.
Kemenangan itu adalah yang kedua berturut-turut Al-Nassr pada peringkat kumpulan pertandingan itu dan meletakkan anak buah Luis Castro tiga mata di puncak Kumpulan E.
Kelab Iran, Persepolis di tangga kedua selepas menang 1-0 ke atas Al Duhail dari Qatar dengan Omid Alishah menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-63 untuk membantu naib juara 2018 dan 2020 itu meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen kali ini.
Dalam Kumpulan C, Air Force Club mengalahkan AGMK 2-1 selepas Ali Jasim menyumbat gol ketiga dalam dua aksi Liga Juara-Juara Asia untuk memberikan kelab Iraq itu gol pendahuluan selepas dua minit ke atas kelab Uzbekistan dengan gol sendiri Sanzhar Tursunov menggandakan kedudukan buat pelawat.
Siavash Haghnazari membalas satu gol buat AGMK sembilan minit sebelum tamat tetapi Air Force Club bertahan untuk menang dan mengumpul empat mata, satu mata di depan Al-Ittihad.
Dalam Kumpulan B, kelab Uzbekistan, Nasaf melonjak ke tangga teratas selepas meraih kemenangan kedua berturut-turut apabila Azizbek Amonov meledak dua gol ketika menang 3-1 ke atas Al Sadd dari Qatar.
Pasukan kendalian Ruzikul Berdiev mendahului dua mata di depan Sharjah dari Emiriah Arab Bersatu, yang menewaskan kelab Jordan, Al-Faisaly menerusi gol pada minit ke-20 sumbangan Moussa Marega, pemenang Liga Juara-Juara Asia bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal pada tahun 2021.
Sepuluh juara kumpulan layak ke pusingan 16 terakhir bersama tiga naib juara terbaik bagi wilayah barat dan timur pertandingan itu. – (Sumber Berita Harian Online)