PULAU PINANG – Mendengar bacaan surah Yasin, menjadi daya tarikan utama seorang wanita untuk bersyahadah dan memeluk agama Islam.
Wanita berusia 40-an yang enggan namanya didedahkan itu disebabkan faktor keluarga memberitahu, bacaan suraht Yasin juga menjadikan dia tenteram dan damai.
“Pada satu tahap saya sukar untuk tidur malam dan hati pula sentiasa resah. Hinggakan saya terpaksa mendengar bacaan surah Yasin menggunakan telefon bimbit.
“Apabila mendengar bacaan Yasin, barulah sayat dapat tidur dengan tenang dan tidak lagi gelisah,” katanya yang merupakan seorang wanita berasal dari Indonesia dan telah tinggal di Pulau Pinang sejak lebih 20 tahun lalu.
Wanita berasal dari Sumatera itu melafazkan syahadah di sebuah restoran yang dipimpin oleh Penang Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim.
IKUT merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang aktif menjalankan aktiviti membantu saudara baharu Islam di bawah program Komtar Bersyahadah dan Dakwah Jalanan di negeri ini.
Menceritakan lebih lanjut, wanita berkenaan memberitahu, jiwanya tidak tenteram setelah ditipu oleh dua orang kenalannya selepas melaburkan kira-kira RM170,000 sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, dia tidak sangka dua rakannya itu, seorang rakyat Malaysia dan seorang lagi warga Indonesia, sanggup menipunya hingga dia kehilangan segala-galanya.
“Enam bulan lalu, dua kenalan itu menghilangkan diri setelah begitu banyak saya melabur. Semuanya hilang begitu sahaja termasuk aset pejabat dan lain-lain.
“Sejak itu pelbagai perasaan timbul termasuk hendak bunuh diri. Tetapi seorang kenalan lain meminta saya sentiasa bersabar dan membantu saya melalui keadaan mengenali ayat-ayat suci al-Quran.
“Apabila saya mendengar bacaan surah Yasin, hati saya tenang. Saya sebenarnya sudah lama mengenali Islam tapi kini bertambah yakin lagi dengan agama Islam apabila mendengar bacaan surah Yasin,” katanya.
Menjawab pertanyaan lain, wanita berkenaan mahu langkahnya memeluk Islam menjadi rahsia pada masa ini kerana ia melibatkan keluarga.
“Biarlah Allah SWT sahaja yang tentukan bila masa yang sesuai untuk saya mendedahkan bahawa saya telah memeluk agama Islam. Saya yakin, apabila saya telah bersedia termasuk dari segi ekonomi, saya akan beritahu bahawa saya telah memeluk agama Islam,” katanya.
Sementara itu, Zolkifly memberitahu, IKUT akan sentiasa mengikut perkembangan wanita berkenaan dan membantunya termasuk dari segi pekerjaan dan ekonomi.
“Selain tanggungjawab mendaftarkan wanita itu dengan pihak berkuasa agama, IKUT juga akan pastikan wanita itu mendapat kefahaman yang jelas mengenai agama Islam.
“IKUT juga sudah memaklumkan kepada kalangan mualaf lain di negeri ini agar sentiasa mendampingi serta saling bantu-membantu wanita berkenaan,” katanya.