PETALING JAYA – Khidmat perubatan bersalin yang menjadi fokus utama DBM Medical Group dengan pembukaan cawangan pusat bersalinnya yang kelima, kini menawarkan perkhidmatan tersebut kepada penduduk yang tinggal sekitar Damansara, Subang dan Sungai Buloh di sini.
Jika sebelum ini DBM Medical Group menawarkan perkhidmatan pusat bersalin di Permatang Pauh, Batu Caves, Batu Maung, Bukit Raja dan yang terbaharu ialah di Kota Damansara.
Perasmian Hospital DBM Pusrawi Kota Damansara dengan pengurusan baharu itu dirasmikan oleh Presiden DBM Medical Group Sdn. Bhd., Zolkifly Md. Lazim bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Rosnah Abu Hassan.
Zolkifly yang ditemui memberitahu, ia merupakan cawangan pusat bersalin DBM Medical Group yang kelima dan bakal memberi khidmat perubatan kepada penduduk sekitar Subang, Damansara dan Sungai Buloh.
Menurutnya, pada tahun ini, DBM Medical Group juga menyasarkan beberapa lagi pusat bersalin termasuk di Perak.
“Pusat bersalin ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu dan sehubungan itu DBM Medical Group merancang melebarkan lagi perkhidmatan tersebut di negeri-negeri lain pada tahun 2025 dan seterusnya.
“Permintaan yang tinggi itu termasuk mendapakan khidmatan doktor-doktor yang terdiri daripada kaum wanita,” katanya.
Mengenai Hospital DBM Pusrawi Kota Damansara, Zolkifly berkata, pada masa ini pihaknya mampu mengendalikan urusan bersalin untuk 70 pesakit dalam masa satu bulan dan jumlah tersebut akan dipertingkatkan lagi setelah beberapa kemudahan baharu diterima dalam masa terdekat