Lafaz syahadah setelah tertarik melihat rakan nelayan solat atas bot

GEORGE TOWN – Bagi seorang nelayan, Yan Wai Peng, bekerja makan gaji sebagai seorang nelayan selama lebih 30 tahun bukan sahaja sesuatu yang mencabar, malah melalui pelbagai pengalaman pahit manis.

Warga emas berusia 65 tahun itu yang berasal dari Kulim, Kedah sebelum berhijrah ke Pulau Pinang kerana mencari pekerjaan memberitahu, antara yang menarik perhatiannya apabila melihat rakan-rakan nelayan beragama Islam sentiasa bersolat walaupun ketika berada di atas bot.

“Mereka rajin solat walaupun sibuk dengan tugas sebagai nelayan.

“Ketika atas bot pun mereka solat. Apabila ditanya, mereka memberitahu di mana sahaja seseorang itu berada, jangan sesekali lupa kebesaran Allah SWT kerana rezeki itu milik Allah,” katanya memulakan perbualan.

Bermula dari situ, hati Wai Peng sentiasa terdetik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agama Islam.

Sebagai seorang nelayan yang makan gaji, tugasnya memang tidak pernah menang tangan manakala pendapatan pula bergantung kepada jumlah hasil tangkapan.

“JIka banyak hasil tangkapan, maka pendapatan hari itu yang diberikan oleh tauke cukup untuk berbelanja keperluan harian. Jika hasil tangkapan kurang, maka upah yang diterima pun sedikit kerana jumlah kami yang makan gaji adalah ramai.” katanya.

Melihatkan rakan-rakan nelayan beragama Islam termasuk dari bot-bot lain tidak pernah alpa dengan solat walaupun kehidupan mereka ada surut dan naik, akhirnya Wai Peng mula bertanyakan mengenai Islam.

“Setelah 30 tahun jadi nelayan, saya kemudian berhenti dan cuba mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Islam.

“Walaupun  hampir satu tahun tidak bekerja antaranya kerana usia saya, dengan sedikit simpanan,  saya masih mampu menjalani kehidupan harian.

“Hari ini syukur sebab hajat saya untuk peluk Islam tercapai,” katanya tersenyum sambil berharap akan mendapat pekerjaan baharu.

Wai Peng melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim dalam program Dakwah Jalanan, Komtar Bersyahadah.

IKUT merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang aktif menyantuni dan membantu golongan mualaf di Pulau Pinang.

Apabila diajukan soalan mengenai perasaannya setelah mengucap dua kalimah syahadah, Wai Peng berkata; “hati saya tenang seperti tidak pernah dirasakan sebelum ini.”

Sementara itu, seorang rakannya, Lin Wei Eng, 46, yang turut peluk Islam memberitahu, antara faktor yang menarik hatinya untuk bersyahadah ialah Islam mengajar agar umatnya  sentiasa menghormati dan berlembut tutur kata dengan ibu.

“Walau dalam keadaan apa sekalinya, kita diajar supaya menghormati ibu dan menjaga ibu yang telah melahirkan kita serta mengasuh hingga kita menjadi dewasa.

“Inilah yang benar-benar menarik hati saya,” katanya yang tinggal bersama ibunya di bandar raya ini.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles