Amah warga Indonesia bunuh bayi terlepas hukuman gantung

0
195

SHAH ALAM: Seorang amah warga Indonesia terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda pertuduhan membunuh bayinya yang baharu dilahirkan kepada menyebabkan kematian dengan cuai.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menetapkan hukuman penjara dua tahun terhadap tertuduh, Welmince Alunat, 40, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Hukuman penjara itu diarah bermula dari tarikh tangkap pada 22 Ogos 2019 sekali gus membolehkan tertuduh dibebaskan hari ini.

Berdasarkan pertuduhan asal, Welmince didakwa membunuh bayinya yang baharu dilahirkan di dalam bilik mencuci dan menjemur pakaian, di Jalan Cempaka, Taman Cempaka, Ampang pada pukul 7 pagi, 22 Ogos 2019.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohd. Yazid berkata, terdapat beberapa isu dan senario yang diambil kira termasuk isu sama ada bayi itu mati dalam perut atau mati selepas dia dilahirkan.

“Peguam cuba mengemukakan tiga teori berasaskan kepada jurnal perubatan dan telah dicadangkan tetapi dalam kes ini, mahkamah menerima keterangan SP9 (saksi pendakwaan kesembilan, Ketua Unit Forensik Hospital Ampang, Dr. Kamaruzaman Abd. Karim) berasaskan ujian paru-paru yang dibuat.

“Adalah satu amalan diamalkan oleh doktor dan selepas bedah siasatan dilakukan dan paru-paru diletakkan dalam air walaupun sudah disimpan dalam tempat beku, ia masih terapung. Isunya, senario sebegini mahkamah mendapati huraian satu di bawah Seksyen 299 Kanun Keseksaan terpakai dan boleh terjumlah kepada mematikan orang secara salah,” katanya.

“Apabila melibatkan bayi baru lahir dalam keadaan sihat, kenapa dia ambil hak bayi itu untuk hidup? Apa sahaja hujah you (kamu) saya tak terima,” katanya

Sementara itu, Peguambela, S. Selvi dalam mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan berkata, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak di Indonesia menyesal dengan tindakan gopoh dan sanggup menerima pengajaran dan hukuman atas perbuatannya itu.

“Tertuduh masuk ke negara ini menggunakan jalan sah dan mempunyai permit daripada 30 Ogos 2017 sehingga 30 Ogos 2019.

“Dia mahu balik ke negaranya bersama bayi dan wang gaji RM10,000 yang disimpan oleh majikannya tetapi malangnya, kejadian itu berlaku lapan hari sebelum kontraknya tamat,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Yazid ketika mencelah rujukan kes dibuat Selvi berkata, tindakan diambil amah terbabit dilakukan secara tergopoh-gapah kerana takut hubungannya dengan seorang lelaki Bangladesh diketahui suaminya yang berada di Indonesia.

“Kenapa dia letak dalam baldi. Sebab dia baru duduk dua tahun dan hendak balik dah dan mengadakan hubungan dengan (lelaki) Bangladesh. Perkara ini dilakukan secara gopoh-gapah melibatkan seorang anak, kanak-kanak. Sebab apa dia buat, sebab dia takut suami dengan empat anak.

“Apabila melibatkan bayi baru lahir dalam keadaan sihat, kenapa dia ambil hak bayi itu untuk hidup? Apa sahaja hujah you (kamu) saya tak terima,” katanya.

~Utusan Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here